PUTRAJAYA: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud sekali lagi berkenan mengurniakan sumbangan kepada umat Islam di Malaysia bersempena Ramadan kali ini.
Hadiah peribadi baginda tersebut yang meliputi sejumlah naskhah al-Quran, pek kurma dan hidangan iftar itu diserahkan menerusi Duta Besarnya, Mesaad Ibrahim Al Sulaim kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Agihan sumbangan yang berlangsung setiap tahun ketika Ramadan lebih dua dekad itu bakal diselaras oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Diraja Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Pada tahun lepas, Malaysia menerima sebanyak 17,000 naskhah al-Quran selain 35 tan kurma dan tajaan majlis berbuka puasa berupa hidangan nasi mandy untuk 15,000 orang.
Walau bagaimanapun, untuk tahun ini pula, nilai sumbangan bagi program khas Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram tersebut tidak didedahkan kepada pihak media tempatan.
Berucap pada majlis berkenaan, Mohd. Na’im menjunjung kasih kepada Raja Salman dan mengucapkan syukur kerana Malaysia dipilih Arab Saudi untuk pelaksanaan program itu.
“Saya sentiasa mendoakan agar hubungan akrab antara dua negara terus diperkukuhkan selaras kehendak agama dan semoga dua negara ini terus aman serta makmur,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga amat bersyukur kerana hubungan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fauzan Muhammad Al-Rabiah dalam suasana amat baik dan saling berkunjung terutamanya dalam isu pengurusan operasi jemaah haji Malaysia pada setiap tahun yang dikendalikan oleh pihak Lembaga Tabung Haji. – UTUSAN











