KUALA LUMPUR: Penilaian impak projek rintis Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan September ini bagi memastikan ketersediaan dasar itu sebelum pelaksanaannya diputuskan secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, projek rintis bagi Dasar Gaji Progresif pula akan dimulakan pada Jun hingga Ogos ini.
Katanya, sehingga kini, terdapat empat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan merentas kementerian dan agensi ditubuhkan dan sedang melaksanakan gerak kerja untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.
“Ia merangkumi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Dasar, Jawatankuasa Pembangunan Sistem, Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti serta Jawatankuasa Kerja Panduan Kenaikan Gaji Tahunan.
“Tujuan utama Dasar Gaji Progresif adalah meningkatkan gaji pekerja sektor swasta secara sistematik bagi membolehkan ekonomi negara maju ke rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan)
Menjawab soalan tambahan, Hanifah Hajar berkata, kerajaan setakat ini tidak menetapkan mandatori untuk seluruh syarikat melaksanakan Dasar Gaji Progresif.
“Jikalau mereka tidak mendaftar, kita tidak boleh memaksa mereka. Ini adalah insentif demi masa depan syarikat.
“Oleh kerana kita belum pasti ini merupakan satu inisiatif terbaik yang dapat dilakukan oleh sebab itu kita melaksanakan satu rintisan, selepas itu kita menilai dan menambah baik,” jelasnya. –UTUSAN










