Projek naik taraf, pulihara Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dijangka siap Julai

Projek naik taraf, pulihara Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dijangka siap Julai

AHMAD Maslan (tengah) ketika sidang akhbar selepas meninjau projek menaik taraf dan pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Projek menaik taraf dan memulihara Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dimulakan pada 1 Disember 2021 dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu dilaksanakan secara perundingan konvensional dengan kos kontrak asal iaitu sebanyak RM17.9 juta.

“Kemajuan projek juga amat baik dan telah mencapai kemajuan fizikal sebenar iaitu sebanyak 82 peratus berbanding kemajuan mengikut jadual iaitu 71 peratus. 

“Usia Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini juga telah mencapai lebih 100 tahun dan ia sudah menjadi bangunan warisan, kontraktor telah melaksanakan projek ini dengan baik dan mengikut syarat-syarat ditetapkan serta mematuhi Akta Warisan Kebangsaan 2005,” katanya selepas meninjau projek menaik taraf dan memulihara Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Ahmad, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang dibina seawal tahun 1883 ini dilindungi di bawah Akta Bendapurba 1976 dan kini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ini merupakan salah satu faktor utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008. 

“Sejajar dengan usianya, bangunan warisan itu dilaporkan mengalami beberapa masalah termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat serta tompokan air yang terdapat di beberapa bahagian,” katanya.

Justeru, Ahmad berkata, projek menaik taraf dan pemuliharaan yang dilaksanakan akan mengekalkan keaslian binaan sebanyak mungkin, membaik pulih bagi memastikan keselamatan pengguna dan menambah beberapa fasiliti yang diperlukan bagi menjamin kemampan keperluan di masa hadapan.

Dalam pada itu, katanya, sepanjang proses menaik taraf dan memulihara Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu dijalankan, kontraktor juga perlu memastikan projek berlangsung dalam keadaan yang tidak terlalu bising memandangkan kes perbicaraan di mahkamah berhampiran sedang berjalan.

“Selain mengekalkan seni bina asal projek ini, kontraktor projek mesti memastikan projek yang dijalankan tidak menggangu proses perbicaraan di mahkamah.

“Untuk pengetahuan, projek ini juga merupakan salah satu projek yang baik, dan ia diberikan lanjutan masa selama dua kali kerana Covid-19,” katanya.

Sementara itu, katanya, setelah siap, projek itu juga akan dapat mengembalikan fungsi bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Ia juga memenuhi komitmen Kerajaan terhadap keselesaan dan kesejahteraan pengguna disamping mengekalkan keaslian serta kemasan binaan sebanyak mungkin,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN