BUKIT MERTAJAM : Kerajaan menggalakkan serta mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri untuk membangunkan surau khas bagi membolehkan solat Jumaat diadakan di lokasi-lokasi tumpuan seperti kompleks beli-belah yang sering dikunjungi orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini, memang ada permintaan untuk berbuat demikian khususnya daripada negeri-negeri yang mempunyai bandar-bandar besar dan sebagainya.
“Tetapi, buat masa ini, kita tak bolehlah nak kongsikan (negeri yang mana) sebab terlalu awal kerana ia masih di peringkat perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Multaqa Madani Ulama dan Umara peringkat zon utara di Majis Timah di sini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pada masa ini, surau khas atau turut dikenali sebagai surau Jumaat itu telah diwujudkan di beberapa kawasan tumpuan termasuk pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan sekitar kawasan Lembah Kelang.
Katanya, inisiatif tersebut digerakkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Yang menariknya, saya ingin kongsikan bahawa, apabila sesuatu pusat beli-belah itu mempunyai surau khas untuk solat Jumaat, maka, makin laris dan makin ramai pengunjung yang datang ke tempat mereka.
“Sekarang ini pun masih banyak (pengurusan) pusat beli-belah ini yang menghubungi kami untuk melihat potensi diwujudkan surau Jumaat seperti ini,” ujar beliau.
Untuk rekod, ketika ini, terdapat kira-kira 6,784 masjid dan lebih 1,000 surau Jumaat berdaftar selain tidak kurang daripada 18,000 surau secara keseluruhannya di seluruh negara.-UTUSAN










