Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) perlu diteruskan

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) perlu diteruskan

Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) perlu dilengkapkan pembinaannya dalam berhadapan bencana alam di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) perlu diteruskan, namun perlu dilakukan penambahbaikan di samping memperbetulkan kelemahan untuk memastikan objektif pelaksanaannya dapat memberi kesan positif kepada negara dan rakyat.

Antara penambahbaikan perlu diambilkira adalah mengemaskini perkakasan yang digunakan sistem ramalan banjir dan memperbetulkan kelemahan penyampaian amaran serta meningkatkan kesedaran kesiapsiagaan komuniti menghadapi bencana alam tersebut.

Hal ini kerana sebarang keputusan menangguhkan boleh merugikan negara meskipun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati kos RM129 juta dibelanjakan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk PRAB Fasa 1 tidak berbaloi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Pusat Kesiapsiagaan dan Pencegahan Bencana, Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Khamarrul Azahari Ra­zak berkata, kerajaan wajar melakukan penambahbaikan terhadap program itu dengan melihat beberapa kelemahan telah dikenal pasti dan tidak perlu menangguhkan pelaksanaannya.

Katanya, terdapat banyak perkara boleh dilakukan kerajaan untuk memperbaiki kelemahan PRAB agar ia mencapai objektif di samping memberi kesan positif secara langsung kepada para penduduk dan komuniti yang sering terkesan banjir.

“Aspek utama penambahbaikan dan paling penting yang kena dilakukan adalah penambahbaikan hardward digunakan untuk mengenalpasti ramalan dan amaran banjir dengan lebih awal. Ini bertujuan agar hardware dapat menggunapakai model dan data terkini mengesan banjir.

“Selain itu, aspek penambahbaikan yang wajar dilakukan adalah keberkesanan penyampaian amaran yang perlu melihat seluruh komuniti seperti kumpulan peniaga dan golongan orang kurang upaya berbanding kini menumpukan kepada para penduduk.

“Ia wajar kerana kita sering memfokuskan kumpulan penduduk berhampiran, sedangkan proses pemindahan seperti warga emas misalnya perlu diambilkira kerana tempoh memindahkan mereka memerlukan masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, dapatan PAC menyimpulkan kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi PRAB Fasa 1 tidak berbaloi kerana gagal berfungsi de­ngan berkesan apabila program tersebut didapati tidak 100 peratus tepat dalam ketetapan aras air banjir dan ramalan ketika berlakunya bencana itu atau dikenali sebagai HIT.

PAC membuat tujuh rumusan PRAB Fasa 1 antaranya ia masih tidak efektif dari segi hebahan amaran banjir kepada masyarakat memandangkan medium digunakan tidak selaras peredaran masa yang memerlukan penyaluran maklumat lebih pantas seperti Commercial Mobile Alert System (CMAS).

Selain itu, pencapaian ketepatan Ramalan Amaran Banjir mengikut kawasan atau ‘HIT’ yang rendah iaitu 5.6 peratus tidak mencapai sasaran sebagaimana dikehendaki dalam PRAB yang memakan belanja RM129 juta.

Khamarrul Azahari menambah, kerajaan perlu melihat daripada penyelenggaran sistem amaran banjir untuk memastikan keberkesanan penyaluran maklumat ketika bencana alam itu berlaku.

“Namun perkara perlu diambilkira adalah kesiapsiagaan komuniti menghadapi bencana alam tersebut yang melibatkan persatuan penduduk dan jawatankuasa kampung dengan menerapkan mereka berkaitan pendidikan untuk bertindak awal menghadapi banjir,” katanya.

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, buat masa ini kerajaan perlu memastikan PRAB dapat berfungsi dengan sempurna agar perbelanjaan RM129 juta dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Justeru itu katanya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Jabatan Pengairan dan Saliran perlu memastikan baki 79 daripada 118 stesen segera melaksanakan penukaran Unit Terminal Kawalan (RTU) bagi memastikan PRAB dapat berfungsi dengan sempurna.

“Keprihatinan PAC terhadap PRAB Fasa 1 disambut baik. Namun yang penting adalah PRAB dapat berfungsi dengan sempurna, agar kos fasa 1 sebanyak RM129 juta dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Pelaksanaan PRAB terbahagi kepada dua peringkat untuk tempoh 10 tahun bermula 2015 di mana PRAB Fasa 1 telah dilaksanakan di tiga lembangan sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Terengganu dan Sungai Pahang dijangka siap pada 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN