KUALA TERENGGANU: Program Pelita Raya Terengganu (Peliter) berpotensi diangkat sebagai salah satu tarikan untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Peliter merupakan pertunjukan tradisi dan warisan generasi terdahulu memeriahkan sambutan Ramadan dan musim perayaan untuk tatapan orang ramai.
Menurutnya, pelbagai penambahbaikan akan dibuat sekiranya usaha mengangkat nilai program berkenaan ke peringkat lebih tinggi antaranya membuka penyertaan dari negara luar.
“Cadangan ini sudah saya syorkan ketika Persidangan Dewan Negara baru-baru ini untuk menjadikan program Peliter sebagai acara tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.
“Kita boleh buka penyertaan atau mengajak komuniti Islam dari negara jiran Singapura, Thailand dan Indonesia untuk memeriahkan program sekaligus merancakkan sektor pelancongan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah program Peliter di Taman Tamadun Islam di sini, malam tadi.
Razali memberitahu, program lima hari itu juga menerima sambutan luar jangkaan daripada pengunjung dengan kehadiran 150,000 orang berbanding 50,000 yang disasarkan.
Selain pertunjukan pelita, turut diadakan pertandingan fotografi dan pertandingan video TikTok yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM11,500 kepada pengunjung.
“Tahun lalu program dibuat di Kampung Budaya Terengganu namun kali ini kita cuba kelainan di Taman Tamadun Islam yang sememangnya sudah terkenal dalam kalangan pelancong,” tambah Razali. – UTUSAN










