KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan tiga sindiket penipuan dalam serbuan berasingan di ibu negara, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama melibatkan serbuan sindiket penipuan dalam talian di sebuah premis kediaman di Segambut yang dipercayai menjalankan aktiviti pusat panggilan penipuan pada 19 Mac lalu.
Menurut beliau, seramai lima warga tempatan termasuk dua wanita berusia lingkungan 24 hingga 28 tahun yang berperanan sebagai penyelia dan pegawai khidmat pelanggan telah ditahan sebelum dituduh pada 22 Mac lalu di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan.
“Polis telah merampas 13 unit telefon bimbit, dua unit komputer riba, dua unit router, satu set kunci rumah dan sebuah kenderaan jenis Toyota Supra.
“Siasatan mendapati sindiket ini merupakan sebahagian daripada ‘unit kewangan’ yang menguruskan keldai akaun-akaun bank Singapura yang digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ hari ini.
Beliau berkata, sindiket tersebut berperanan mendapatkan akaun keldai akaun dari Singapura dan seterusnya memindahkan wang yang dimasukkan ke akaun tersebut sebelum ke keldai akaun yang lain.
Dalam kes berlainan, JSJK berjaya menumpaskan sindiket penipuan perniagaan menerusi serbuan pada 25 Mac lalu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Ramli berkata, seramai 19 individu terdiri daripada lapan warga tempatan serta 11 warga China berusia dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun telah ditahan.
“Kita telah terima laporan daripada seorang lelaki warga Taiwan yang mendakwa telah ditipu selepas dipelawa rakannya menerusi WeChat pada Januari lalu untuk menyertai skim perniagaan berkaitan jual beli barangan secara atas talian melalui Syarikat Amazon Joint Operation.
“Mangsa diyakinkan perniagaan tersebut adalah cawangan daripada syarikat Amazon di Amerika Syarikat dengan keuntungan 10 peratus seminggu daripada jumlah wang yang dilaburkan sebelum melabur sejumlah USDT 70,000 (RM331,000) ke dalam akaun e-wallet yang diarahkan,” katanya.
Namun, kata Ramli, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan.
Bagi kes lain, Ramli memberitahu, pihaknya berjaya menumpas sindiket pusat panggilan penipuan di sebuah premis di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.
“Tujuh warga tempatan dan lima warga China berjaya diberkas dengan rampasan empat komputer riba, satu IPad, tujuh telefon bimbit, satu modem, satu router, satu kad akses rumah dan satu kunci rumah.
“Sindiket yang beroperasi di unit berkenaan kira-kira sebulan lalu disyaki terlibat dengan penipuan pelaburan secara dalam talian menggunakan platform X dan Discord yang mensasarkan warga China,” katanya.- UTUSAN










