PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) melipatgandakan usaha penerangan yang berkesan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, PN perlu mengukuhkan capaian media sosial dan media tradisional.
“Saya mengambil peluang menggesa pemimpin tertinggi PN melipatgandakan usaha penerangan yang berkesan kepada rakyat.
“Bagi saya, sebenarnya wakil-wakil rakyat PN amat giat menjaga kebajikan rakyat dan membawa suara rakyat ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Tetapi kita masih belum cukup efektif dalam memperluaskan apa yang kita buat kepada rakyat. Sehingga ada yang merasakan seolah-olah kita tidak bekerja kerana maklumat mengenai kerja kita tidak sampai kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di facebook, hari ini.
Tambahnya, dalam keadaan kerajaan mencengkam media. PN perlu memperkukuh capaian penerangan dalam media sosial sambil meneruskan usaha untuk mendapatkan liputan lebih luas dalam media tradisional.
“PN juga mesti memperbanyak program menyantuni aktivis media sosial agar ada rasa kebersamaan yang jitu.
“Momentum rakyat semakin kuat bersama PN. PN perlu terus membina momentum terutama ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Penyampaian maklumat yang kerap dan tepat adalah amat penting dalam usaha membina kekuatan itu,” katanya. – UTUSAN










