Petronas catat untung lepas cukai RM80.7b

Petronas catat untung lepas cukai RM80.7b

Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz bercakap pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan Kewangan Kumpulan PETRONAS Suku Keempat dan Tahun Berakhir 2023 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur semalam. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM80.7 bilion atau 20.81 peratus lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berbanding RM101.9 bilion yang direkodkan pada tahun 2022.

Syarikat minyak milik kerajaan itu juga mengumumkan pembayaran dividen RM32 bilion kepada kerajaan, lebih rendah berbanding RM40 bi­lion pada 2023. Dividen itu akan dibayar pada Mac hingga Disember ini.

Keuntungan bersih pada suku keempat 2023 menurun kepada RM16.6 bilion berbanding RM24.4 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Pendapatan syarikat minyak nasio­nal itu pada suku ke­empat juga menurun adalah RM91.7 bilion berbanding RM104.2 bilion pada tahun sebelumnya didorong oleh penurunan harga minyak dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Ekse­kutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Teng­ku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, prestasi kurang mem­berangsang­kan ter­sebut disebabkan penurunan harga te­naga, tetapi diimbangi jualan lebih tinggi untuk produk utama.

“Petronas mencatatkan hasil lebih rendah sebanyak RM343.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berbanding RM372.3 bi­lion terutamanya dipengaruhi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah.

“Prestasi ini diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan jumlah jualan terutamanya daripada produk petroleum dan manfaat pertukaran asing,” katanya ketika pengumuman prestasi kewangan Petronas di sini semalam.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas terus melaksanakan disiplin modal yang ketat dan pengurusan portfolio yang teguh di ketika ketidakstabilan pasaran dalam memastikan keselamatan tenaga.

Selain itu, pada suku sama, Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun kepada RM128.5 bilion berbanding RM170.7 bilion yang direkodkan pada 2023.

“Aliran tunai daripada ke­giatan operasi (CFFO) berada pada RM114.2 bilion (FY2023) berbanding RM135.3 (FY2022)

“Pelaburan Modal (CAPEX) berjumlah RM52.8 bilion, terutama dikaitkan dengan Huluandan projek Gas,” katanya.

Beliau berkata, CAPEX domestik meningkat sebanyak 41 peratus berbanding tahun lalu terutama pelaburan dalam Projek LNG Terapung Dekat Pesisir Petronas di Sabah dan Kasawari Pembangunan Me­dan Gas serta kemudahan penyerapan CO2 di Sarawak.

Beliau juga berkata aset syarikat minyak milik kerajaan itu terus mengukuh kepada RM773.3 bilion pada akhir 2023.

“Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.5 bilion pada 31 Disember 2023 disebabkan terutama oleh keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang saham,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata, dividen yang akan dibayar adalah RM32 bilion tahun ini berbanding RM40 bilion pada tahun lalu.

Katanya, sumbangan Petronas kepada tabung ama­nah negara pula berjumlah RM2 bi­lion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN