Pertimbang Malaysia jadi destinasi pelaburan antarabangsa - PM

Pertimbang Malaysia jadi destinasi pelaburan antarabangsa – PM

ANWAR Ibrahim menjawab soalan dalam Persidangan Invest ASEAN di Melbourne, Australia hari ini. -FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELBOURNE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak pelabur dan ahli perniagaan ASEAN serta Australia supaya mempertimbangkan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

Beliau berkata, pelbagai peluang menanti pelabur asing di Malaysia disokong dengan kestabilan politik dan dasar keraaan yang menawarkan insentif untuk dimanfaatkan.

Dalam usahanya menarik minat pelabur dan perniagaan ke Malaysia, Perdana Menteri menegaskan bahawa kestabilan politik, dasar serta tadbir urus baik dalam mewujudkan persekitaran kondusif untuk pelaburan serta pertumbuhan ekonomi negara, amat penting.

“Menerusi kestabilan politik ini, kita memberi tumpuan terhadap tadbir urus yang baik. Selain itu, wujud kejelasan dasar iaitu perancangan serta keutamaan yang lebih jelas,” katanya dalam Persidangan Invest ASEAN, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kini dalam rangka lawatan rasmi ke Australia pada 4 hingga 7 Mac ini atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Anthony Albanese.

Memetik laporan Bernama, Anwar berkata, kerajaan juga menyedari dalam usaha memacu ekonomi, apa yang penting adalah menyegerakan serta mempercepat kadar keutamaan, sebagai contoh, dalam aspek transformasi digital.

“Kita komited untuk mengambil apa juga langkah wajar bagi memastikan ini dapat direalisasikan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan peranan kerajaan tidak hanya sebagai menyediakan kemudahan berkaitan bahkan melibatkan aspek mempercepat proses serta berupaya mengenal pasti soal keutamaan.

“Bagi saya, isu dengan kerajaan ialah adakalanya kita (menganggap) seperti tahu semua perkara. Saya katakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa walaupun kita telah menggariskan kejelasan dasar ini dari segi peralihan tenaga, kita juga perlu memikirkan mengenai masa depan,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai dana kekayaan negara, Anwar menjelaskan walaupun dana itu secara teknikalnya bawah kawalan kerajaan, aspek seperti keputusan perniagaan yang diambil oleh Khazanah Nasional dan Petronas yang dipengerusikan beliau, adalah semata-mata berasaskan matlamat perniagaan.

“Biarpun secara teknikalnya saya mempengerusikannya, saya telah menyatakan dengan jelas. Keputusan itu, keputusan perniagaan adalah berdasarkan garis panduan dasar.

“Keputusan perniagaan mesti dibuat oleh mereka dalam bidang itu, kalangan pakar,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×