HATYAI: Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan mana-mana pihak bagi penganjuran sebarang aktiviti atau fiesta belon udara panas di negeri ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, beliau secara peribadi amat tertarik dengan aktiviti atau fiesta berkenaan namun penganjurannya perlu dilaksanakan di kawasan dan masa yang bersesuaian.
Beliau berkata, selain itu, caj yang dikenakan buat pengunjung juga seharusnya berpatutan dan bersesuaian dengan rakyat negeri ini.
“Kerajaan negeri bersedia dan bersetuju sekiranya ada pihak nak menganjurkan aktiviti atau fiesta belon udara panas ini susulan potensi besar yang terdapat di Perlis,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Perlis berpontensi menjadi lokasi penganjuran aktiviti atau fiesta belon udara panas sekali gus menjadi tarikan baharu buat pengunjung khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Ini kerana Perlis mempunyai keistimewaan tersendiri dengan keindahan alam semula jadi seperti panorama bukit batu kapur dan kehijauan sawah padi melalui pandangan dari udara.
Antara lokasi dilihat sesuai seperti Lembah Chuping berpanorama Bukit Chabang, Tasik Timah Tasoh dan kawasan Sanglang yang menyajikan pemandangan sawah padi yang menampilkan keunikan serta perbezaan pemandangan dari udara berbanding negeri-negeri lain.
Malah buat julung kalinya, belon udara panas dibawa ke negeri ini melalui syarikat AKA Balloon Sdn. Bhd. bersempena Pesta Angin Timur 2024 baru-baru ini turut berjaya menarik perhatian bukan sahaja rakyat negeri malah pengunjung luar datang.
Pengurus Operasi AKA Balloon Sdn. Bhd. Eizwan Elyas Khairudin,25, dilaporkan berkata, Perlis mempunyai potensi cukup besar bagi penganjuran fiesta belon udara panas berikutan pemandangan dari udara yang cukup memukau seolah-olah seperti berada di negara-negara Eropah.
Katanya, daripada segi teknikal, Perlis juga merupakan lokasi sesuai berikutan kawasan tanah di sini yang rata, tidak ada bangunan tinggi serta lapangan terbang.-UTUSAN










