KANGAR: Penutupan premis terakhir judi di Padang Besar pada Rabu lalu menjadikan Perlis secara rasminya menjadi negeri bebas atau sifar premis berkenaan.
Di Perlis terdapat enam premis judi sebelum ini dengan empat daripadanya ditutup tahun lalu manakala yang kelima pada 31 Januari lalu.
Perlis mengikut jejak langkah Kelantan, Terengganu, Kedah yang terlebih dahulu mengharamkan operasi premis judi berkenaan.
Bagi Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan minggu depan, sudah tidak ada lagi premis judi di negeri ini.
“Alhamdulillah, mengharapkan keberkatan bulan Ramadan yang menghampiri, tiada lagi premis judi di bumi kecil dan berkah ini,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, penutupan premis judi terakhir pada 6 Mac lalu secara rasminya menjadikan Perlis negeri sifar premis judi seperti yang dihasratkan oleh kepimpinan kerajaan negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri amat sedar bahawa aktiviti perjudian membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
“Keputusan untuk menghentikan lesen premis judi ini adalah demi memastikan rakyat pelbagai agama dan kaum di Perlis dapat hidup dengan selamat dan sejahtera,” katanya.
Asrul Aimran berkata, tentang aktiviti perjudian haram, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi-agensi yang bertanggungjawab membanteras aktiviti itu. – UTUSAN










