IPOH: Perak FC akan menguji dua pemain import baharunya, Lee Tae Min dan Luiz Motta dalam perlawanan persahabatan Sabtu depan.
Pengerusi kelab, Datuk Seri Mohd. Azim Zabidi berkata, perlawanan dengan Kelab Liga S, Geylang United merupakan medan terbaik menguji keupayaan Tae Min dan Motta.
“Kedua-dua pemain itu sudah berlatih bersama Perak lebih seminggu. Perlawanan dengan Geylang United pentas terbaik menguji keupayaan mereka.
“Perlawanan diadakan di Stadium Perak bertujuan memberi peluang kepada penyokong melihat mereka beraksi,” katanya.
Mohd. Azim berkata, setakat ini Perak FC hanya akan menggunakan khidmat tujuh pemain import musim ini.
Bos Gaurus mempunyai khidmat Sunday Afolabi, Luka Milunovic, Jasper Nyholm dan Luciano Guaycochea serta kapten B-23 Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov.
Katanya, Perak FC tidak mempunyai dana yang besar untuk mengambil khidmat pemain import tambahan.
“Cukuplah dengan apa yang ada. Perak FC bukan kaya sangat, jadi kita kena berbelanja mengikut kemampuan, ” katanya. – UTUSAN










