IPOH: Perak besar kemungkinan tidak menyertai acara bola sepak pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XXI di Kuching pada Ogos depan.
Ini kerana pasukan Kejor Yob Kejor tidak berupaya membuat persiapan pasukan, gara-gara kurangnya tajaan dan sokongan kewangan daripada pihak kerajaan negeri.
Masalah itu didedahkan oleh Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Choo Seong, Perak FC hanya diberi peruntukkan RM50,000 untuk persiapan pasukan bagi Sukma.
“Dengan peruntukkan sebanyak itu mana cukup.
“Jika dibandingkan dengan beberapa pasukan negeri lain, saya dimaklumkan mereka mendapat insentif dan sokongan penuh daripada kerajaan negeri masing-masing bagi persediaan menghadapi kejohanan Sukma,” katanya.
Beliau memberitahu, dari aspek pembangunan, Perak FC juga terpaksa menanggung beban kewangan untuk persediaan pasukan Bawah-23, Bawah-20 dan Bawah-18 seperti yang disyaratkan oleh MFL.
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan negeri akan mempertimbangkan memberi peruntukkan yang setimpal atau bantu mencari dana tambahan.
“Jika tidak Perak mungkin menarik diri dari acara bola sepak.
“Ini adalah satu kerugian kepada Perak kerana Perak mempunyai ramai bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak. ” katanya.
Jika itu berlaku agak malang bagi Perak yang melengkapkan hatrik pingat emas acara bola sepak pada Sukma edisi 2014, 2016 dan kali terakhir dengan menewaskan Kedah 2-1 pada final edisi 2018 di Ipoh. – UTUSAN










