IPOH: Perak FC mengikat empat pemain muda ke dalam skuad Piala Belia musim ini.
Mereka adalah Abdul Al Hayyi Abdul Ghani, Akif Zafran Khairul Hisham, Ahmad Danish Mas Yuri dan Muhammad Isa Mohd Sulaiman.
Abdul Al Hayyi dan Akif Zafran dari Sekolah Menengah Anderson Ipoh manakala Ahmad Danish dan Muhammad Isa dari Sekolah Sukan Negeri (SSN), SMK Gunung Rapat.
Majlis menandatangani kontrak berlangsung di Unit Sukan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak di Jalan Pasir Puteh, di sini semalam.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar merangkap Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (UPBM) JPN Perak, Yusof Che Ros; para pegawai Perak FC dan JPN Perak, wakil-wakil sekolah yang terlibat serta ibu bapa pelajar terbabit
Choo Seong menasihatkan empat pelajar terbabit supaya menjaga disiplin dan berusaha meningkat keupayaan diri.
“Anda kini bertaraf profesional selepas memeterai ikatan dengan PFC.
“Namun jangan cepat berpuas hati. Perjalanan anda masih jauh, rebutlah peluang terbuka ini untuk mengejar cita-cita dan impian anda,” katanya. – UTUSAN










