Penuntut wanita beri maklumat palsu kelahiran bayi - Utusan Malaysia

Penuntut wanita beri maklumat palsu kelahiran bayi

HANYAN RAMLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Gara-gara malu dan takut diketahui keluarga kerana melahirkan bayi luar nikah, seorang penuntut wanita salah sebuah universiti awam di Kuala Nerus, sanggup memberi maklumat palsu mengenai kelahiran bayi lelakinya, hari ini

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, penipuan suspek berusia 22 tahun itu terbongkar apabila doktor di Klinik Kesihatan Kerteh membuat laporan polis selepas mendapati wanita itu memberi maklumat yang meragukan ketika membuat rawatan di klinik itu.

“Wanita tersebut ditemani kakaknya, datang ke klinik untuk membuat rawatan berikutan dia mengalami pendarahan melahirkan bayinya, namun tidak membawa bayinya ke klinik tersebut.

“Suspek memberitahu dia telah melahirkan bayi lelakinya di Kerteh kira-kira pukul 2 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hanyan berkata, bagaimanapun, selepas disoal siasat polis, suspek mengaku telah bersalin dalam sebuah tandas di sebuah rumah di Paka, Dungun sebelum ditemui kakaknya.

“Suspek pada awalnya menipu alamat sebenar lokasi kejadian kerana takut diketahui ibu bapanya yang merupakan pengamal perubatan,” katanya.

Menurutnya, bayi yang dibalut dengan kain putih yang diselaputi pasir itu kemudiannya dibawa ke klinik untuk dirawat namun telah meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal juga mendapati, suspek mengaku masih belum berkahwin dan pernah melakukan hubungan terlarang dengan teman lelakinya tahun lalu.

“Suspek kini sedang menerima rawatan di Hospital Kemaman dan bayi tersebut dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu dan siasatan lanjut akan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN