Penstrukturan semula PTPTN dimanipulasi

Penstrukturan semula PTPTN dimanipulasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat segelintir peminjam memanipulasi kemudahan penstrukturan semula bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hanya semata-mata ingin memperbaiki rekod kewangan mereka terutama ketika memohon pembiayaan kenderaan atau perumahan.

Niat melakukan penstrukturan semula bukanlah untuk melunaskan tunggakan pinjaman sedia ada, sebaliknya hanya untuk memenuhi syarat untuk permohonan pembiayaan agar diluluskan institusi kewangan.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu melihat semula kemudahan itu kerana realitinya ia telah disalah guna sebahagian peminjam, meskipun berkeupayaan untuk membayar.

Katanya, selepas pembiayaan kenderaan atau perumahan diluluskan, potensi untuk culas mengikuti penstrukturan semula adalah tinggi kerana niat mereka bukanlah untuk melangsaikan hutang pendidikan.

“Ramai peminjam masih melihat PTPTN sebagai bantuan individu sedangkan ia merupakan pinjaman pendidikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan seramai 361,384 peminjam tidak pernah membuat sebarang bayaran balik kepada PTPTN. Ia melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM5.13 bilion.

Mohd. Izzat berkata, PTPTN perlu mewajibkan jangka masa untuk menyelesaikan baki tertentu sebaik sahaja tamat pengajian atau memperoleh pekerjaan.

Katanya, sebagai contoh 50 peratus daripada jumlah pinjaman perlu dibayar dalam tempoh 10 tahun, selari dengan prinsip tadbir urus yang baik bagi menjamin kelestarian dana pendidikan negara.

“Penguatkuasaan dan mekanisme tapisan juga perlu diperkukuh supaya kemudahan ini kekal untuk peminjam yang kurang berkemampuan dan tidak menjejaskan kredibiliti sistem pembiayaan pendidikan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Izzat berkata, inisiatif pengecualian bayaran balik PTPTN selari dengan usaha kerajaan menggalakkan kecemerlangan akademik serta mobiliti sosial, namun perlu dinilai secara berterusan bagi memastikan keseimbangan antara galakan prestasi dan prinsip keadilan sosial.

Katanya, pelaksanaan insentif sedemikian tidak seharusnya melemahkan budaya tanggungjawab dalam kalangan peminjam, sebaliknya perlu disokong dengan pendekatan lebih sistemik seperti potongan gaji berasaskan pendapatan dan insentif kepada peminjam berdisiplin.

“Dalam konteks ini, belia tidak seharusnya hanya dilihat sebagai penerima manfaat, tetapi sebagai rakan strategik yang bertanggungjawab dalam memastikan peluang pendidikan berkualiti terus dapat dinikmati generasi akan datang,” katanya.

Tambahnya, kelestarian dana pendidikan bukan sekadar soal kutipan kewangan, tetapi turut mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan sosial, mobiliti antara generasi dan masa depan pembangunan modal insan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN