PETALING JAYA: Peningkatan kadar dividen simpanan syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan keyakinan pelabur khususnya umat Islam terhadap kewangan Islam, menurut pakar kewangan.
Penasihat Syariah Kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berpandangan, keyakinan orang ramai terhadap prestasi kewangan Islam telah meningkat, namun masih belum mencapai tahap yang dikehendaki.
Katanya, senario itu dapat dilihat apabila masih ramai pencarum beragama Islam belum berpindah daripada simpanan konvensional kepada simpanan syariah.
“Orang Islam dalam KWSP konvensional masih lebih 60 hingga 70 peratus. Jadi, selagi peratusan penyimpan muslim di simpanan konvensional tidak menurun sehingga kurang dari 30 peratus, maka selagi itu belum capai tahap membanggakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan KWSP mengekalkan prestasi kukuh dengan mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.50 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan syariah.
Kadar dividen itu menyaksikan jurang dividen antara simpanan konvensional dan syariah KWSP semakin mengecil kepada 0.10 peratus tahun lalu, berbanding 0.60 peratus pada 2021 dengan dividen simpanan konvensional 5.35 peratus dan syariah 4.75 peratus.
Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, pelaburan patuh syariah masih mampu menjana keuntungan setanding konvensional dan berkemungkinan meningkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak mudah kerana ia bergantung kepada prestasi kukuh daripada pemain industri lain berbanding prestasi perbankan konvensional yang kerap mencatat keuntungan lumayan.
“Simpanan syariah tidak dibenarkan melabur dalam perbankan konvensional.
“Justeru, kita harap, keyakinan terdapat kewangan Islam bertambah, ternyata bukan hanya mampu tawarkan kepatuhan shariah dan berkat, malah juga pulangan pelaburan yang sihat,” katanya. –UTUSAN










