Peniaga bazar Ramadan dipantau KKM

Peniaga bazar Ramadan dipantau KKM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan Operasi Ramadan 2024 (Op Ramadan) secara serentak di seluruh negara melibatkan semua premis makanan termasuk bazar Ramadan dalam memastikan makanan dijual selamat.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan bagi memastikan makanan disediakan atau dijual selamat selain
mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, pemeriksaan juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan dalam memilih apa sahaja juadah berbuka.

“Sebelum membeli ‘Perhati dan Pilih’ serta amalkan ‘Lihat Hidu Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan,” katanya hari ini.

Pada masa sama, KKM menasihatkan peniaga supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan selain tidak menyediakan makanan berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu dijual.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

“Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN