Pengemis tagih simpati di bazar Ramadan

Pengemis tagih simpati di bazar Ramadan

ROSNAH Sardi (tengah) menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu ketika menyertai Op Ramadan 'Helping The Vagrant Community' di Nilai, Seremban, semalam.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kewujudan bazar Ramadan yang membolehkan orang ramai berbelanja untuk juadah berbuka puasa turut menjadi tumpuan kehadiran golongan pengemis.

Berdasarkan tinjauan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Nege­ri Sembilan di bazar-bazar Ramadan di sekitar Nilai di sini turut mendapati ada di antara pengemis yang membawa kanak-kanak bagi meraih simpati.

Pengarah JKM negeri, Rosnah Sardi berkata, berdasarkan modus operandi ada antara mereka (pengemis) membawa kanak-kanak untuk mengemis yang secara jelas merupakan satu kesalahan dibawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Jika tidak ada masyarakat atau komuniti yang memberi bermakna mereka tidak akan hadir di tempat tersebut. Mereka (pengemis) wujud bila ada yang (masyarakat) memberi, tambahan lagi membawa dan menggunakan kanak-kanak.

“Jadi JKM harap agar ma­syarakat memberi sumba­ngan kepada pihak yang betul kerana mereka juga dikhuatiri terpalit jenayah di sebaliknya.

“Kami tidak menghalang tetapi menggalakkan agar kesedaran itu dan berharap dapat membantu menjadikan bandar yang lebih harmoni dan masyarakat sejahtera,” katanya selepas mengadakan Op Ramadan ‘Helping The Vagrant Community’ di Nilai di sini semalam.

Kata Rosnah, menerusi Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu yang dilaksana juga menggalakkan masyarakat supaya memberi sumbangan kepada pihak yang betul.

“Contohnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang menjalankan program membantu golongan sasar mahupun institusi masjid,” katanya.

Rosnah berkata, pihaknya memandang serius perbuatan mengemis yang menyalahi dalam Akta Orang-Orang Papa 1977 dan berusaha membanteras aktiviti pengemisan berlaku secara berleluasa di nege­ri ini.

“Berikutan itu, JKM bertanggungjawab menyelamatkan golongan pengemis bagi diberi pemulihan sama ada di institusi kami atau di luar institusi supaya tidak ulangi perbuatan mengemis.

“JKM mempunyai dua institusi pemulihan desa bina diri iaitu di Mersing, Johor dan Jerantut, Pahang di mana kami akan meletakkan pengemis yang diselamatkan untuk pemulihan dan di situ mereka akan diberi kemahiran,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN