MARANG: Pemuda UMNO Malaysia menetapkan petunjuk presrasi utama (KPI) kepada bakal calon daripada pergerakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU15) akan datang.
Ketuanya, Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, KPI yang ditetapkan nanti itu perlu dicapai mereka untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum itu.
Menurutnya, antara KPI yang perlu dicapai ialah bakal calon itu perlu diterima rakyat dan lebih bekerja dalam membantu parti serta rakyat.
“Kali ni kita ada KPI untuk mereka. Kalau kata dia tak capai KPI. maka sudah tentulah kita tidak akan mencalonkan (dalam PRU16).
“Kategori pertama dia mesti diterima rakyat dan kedua dia mesti dia lebih kerja daripada Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Dewan Dato’ Hj Nik Dir Bin Wan Ku di pejabat UMNO Marang di sini, petang ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Wan Ku dan Ketua Pemuda UMNO Negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera.
Muhammad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, beliau percaya terdapat ramai dalam kalangan pemimpin daripada pergerakan itu yang boleh diketengahkan dalam PRU16.
Pada masa sama, katanya, bakal calon tersebut juga tidak semestinya daripada bahagian tetapi di peringkat kepimpinan atau ahli biasa.
“Ramai pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi yang boleh kita ketengahkan, tidak semestinya calon mesti datang dari bahagian,” katanya. – UTUSAN










