Ahli perniagaan pro Eropah dicalon sebagai PM - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan pro Eropah dicalon sebagai PM

VASILE TOFAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHISINAU: Presiden Moldova, Maia Sandu pada Sabtu mencalonkan ahli perniagaan pro Eropah, Vasile Tofan sebagai perdana menteri.

Jika diluluskan oleh parlimen, Tofan akan dipertanggungjawabkan untuk mempercepatkan usaha Moldova merealisasikan matlamat keahlian dalam Kesatuan Eropah (EU) dan memulihkan ekonomi negara yang telah mengalami kemerosotan selama beberapa tahun.

Beliau dicalon bagi menggantikan  Alexandru Munteanu yang meletakkan jawatan awal bulan ini berikutan perbezaan pendapat dengan majoriti pemerintah.

Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Sandu berkata, tanggungjawab utama Tofan ialah meneruskan usaha membawa Moldova ke hadapan dalam laluan integrasi ke dalam EU.

Menurut Sandu, tanggungjawab itu dapat diteruskan jika pencalonan Tofan diluluskan oleh parlimen.

Beliau juga perlu memperkukuhkan daya tahan institusi negara dan masyarakat  serta memulihkan ekonomi, tambah Sandu.

Tofan kini mempunyai tempoh dua minggu untuk mendapatkan sokongan parlimen. Dalam tempoh itu, beliau perlu mengemukakan program kerajaannya dan senarai pencalonan anggota Kabinet menteri.

Nama ahli perniagaan itu telah disebut sebagai calon berpotensi untuk jawatan perdana menteri sejak tahun lalu, malah, sebelum Munteanu dilantik sebagai perdana menteri.

Igor Grosu, yang mengetuai Parti Tindakan dan Solidariti (PAS) pimpinan Sandu, yang memenangi pilihan raya parlimen pada September, mengumumkan pada Jumaat bahawa beliau telah memilih Tofan sebagai calonnya.

Beliau berkata, kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama  iaitu penyertaan ke dalam EU dalam beberapa tahun akan datang, pembaharuan institusi dan pertumbuhan ekonomi.

Tofan, yang genap berusia 44 tahun pada Ahad, merupakan graduan Harvard Business School dan memiliki ijazah dalam pengurusan awam dari Belanda. 

Beliau juga ialah rakan kongsi pengurusan di Horizon Capital, sebuah firma ekuiti persendirian yang memberi tumpuan kepada pelaburan di Ukraine dan Moldova.

Munteanu yang meletakkan jawatan itu merupakan seorang ahli perniagaan dan seperti Sandu pernah berkhidmat di Bank Dunia, dipilih bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mempercepatkan usaha mendekatkan Moldova kepada EU.

Namun, Munreanu meletakkan jawatan pada 3 Julai selepas kurang lapan bulan memegang jawatan dengan menjelaskan bahawa beliau tidak lagi dapat melaksanakan mandatnya selaras dengan prinsip dan pega­nga beliau.

Kesatuan Eropah bulan lalu secara rasmi melancarkan pusingan pertama rundingan pe­nyertaan dengan Ukraine dan Moldova. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN