GEORGE TOWN : Seorang pemuda maut selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer (KM) 3.7, Jambatan Pulau Pinang, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, mangsa, Mohd. Fazri Mohd Rosli, 28, dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Shahrul Munawer Taharen berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, pasukan bomba terus ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di sana, didapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Ketika kejadian, terdapat seorang mangsa lelaki telah tersepit di bahagian depan kenderaan ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Shahrul Munawer, pihak bomba kemudian telah membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota yang terlibat untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.
“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 12.44 pagi, namun, telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
“Kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.21 pagi,” katanya.-UTUSAN










