Peminat tak perlu bimbang - Dayang Nurfaizah sihat, berat badan ideal - Utusan Malaysia

Peminat tak perlu bimbang – Dayang Nurfaizah sihat, berat badan ideal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi kesayangan ramai, Dayang Nurfaizah menolak spekulasi dirinya obses menurunkan berat badan sehingga mendatangkan masalah anoreksia.

Kata Dayang, penurunan berat badan dialaminya adalah disebabkan amalan pemakanan sihat selain senaman dan bukan disebabkan diet ekstrim dan berbahaya.

“Saya mohon kepada peminat kalau boleh jangan asyik tanya adakah saya sakit. Saya tak mahu komen begitu kerana ia boleh bertukar menjadi doa.

“Alhamdulillah saya sihat. Saya pun nak kelihatan cantik, jadi kebiasaannya menjelang konsert saya akan kawal pemakanan dan banyakkan bersenam. Tapi kebanyakan masa saya tidak berpantang makan, cuma selalu bersenam.

“Saya harap peminat mendoakan yang baik-baik. Saya okey, sihat seperti biasa,” katanya. 

Dayang berkata demikian selepas sidang media Konsert By Ajai & Mega Friends semalam.

Penyanyi lagu Selagi Masih Ada Cinta itu mengundang kerisauan peminat apabila tampil dengan fizikal yang terlalu kurus ketika membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu ke-38, Ahad lalu.

“Saya gembira dengan berat badan yang saya miliki sekarang. Doktor yang selalu memeriksa kesihatan saya juga memaklumkan berat badan saya tidak bermasalah dan saya sihat, Alhamdulillah.

“Setakat ini berat badan saya tak pernah di bawah timbangan yang sepatutnya. Peminat tak perlu risau, cuma saya harap mereka terus mendoakan yang baik untuk saya,” kongsinya.

Bercakap tentang Konsert By Ajai & Mega Friends, Dayang meluahkan rasa syukur dan bertuah kerana dipilih menjadi sebagian penyanyi yang akan menjayakan konsert tersebut pada 3 Ogos 2024. 

“Saya beruntung kerana Ajai hadir memberikan saya sebuah karya hebat, Seandainya Masih Ada Cinta yang memperkenalkan saya kepada masyarakat di awal kemunculan saya dalam industri seni.

“Jadi bila Ajai pelawa untuk tampil dalam konsert ini, saya tak boleh tolak. Dia antara komposer yang meninggalkan impak yang cukup besar dalam kerjaya nyanyian saya,” ujarnya.

Selain Dayang, penyanyi yang bakal tampil membuat persembahan bersama Ajai di konsert itu nanti antaranya Aina Abdul, Hazama, Hafiz Suip dan Aufahanie. Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN