Pembukaan kilang solar China cipta peluang kerja anak tempatan - Utusan Malaysia

Pembukaan kilang solar China cipta peluang kerja anak tempatan

SAARANI Mohamad menandatangani plak perasmian kilang filem panel solar dari China, Zheijang Sinopont Technology Co. Ltd. (Sinopont) di Kawasan Perindustrian Tasek di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak mengharapkan pembukaan kilang pengeluaran filem panel solar oleh syarikat China, Zheijang Sinopont Technology Co. Ltd. (Sinopont) di sini dapat menawarkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada anak tempatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kilang solar itu yang akan memulakan pengeluaran menjelang suku pertama 2024 telah berjaya mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan buat masa ini.

“Saya yakin kilang ini juga akan menjadi pemangkin baharu bagi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya semasa merasmikan pembukaan kilang itu di Kawasan Perindustrian Tasek di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelaburan bernilai RM2 bilion itu berupaya menghasilkan enkapsulasi filem sel solar dengan kapasiti pengeluaran 85 juta meter persegi bagi menampung permintaan 10 gigawatt, dan merupakan kilang pertama Sinopont yang beroperasi di luar China.

Saarani berkata, beliau berpeluang melawat ibu pejabat Sinopont di China pada Oktober tahun lalu, dengan pelbagai perbincangan diadakan termasuk mengenai pembukaan kilang terbaharu di Perak.

“Hari ini saya rasa amat bersyukur, melihat kerjasama itu direalisasikan dan sudah tentu akan memberikan manfaat besar kepada rakyat serta merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

“Melalui pembangunan fasa-fasa seterusnya, lebih banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan yang seterusnya memacu lebih banyak pelaburan dan kemakmuran ke negeri Perak,” katanya.

Semasa lawatan ke China itu juga, beliau berkesempatan bertemu sekumpulan staf terdiri daripada anak Perak yang menjalani latihan intensif dan pemindahan teknologi bersama Sinopont di Hangzhou.

“Semoga pendedahan dan pengalaman anak-anak tempatan kita di negara China dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk dibawa pulang ke negara kita.

“Melalui usaha itu, kita tentunya akan dapat membangunkan satu set kemahiran tambahan dalam kalangan warga tempatan dan seterusnya melahirkan generasi tenaga kerja yang mahir dalam pasaran kerja di negeri Perak,” katanya.

Jelasnya, perkembangan itu juga sejajar dengan hasrat berdasarkan Flagship Keempat Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu mewujudkan Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

“Strategi kita antaranya adalah untuk mengurangkan kebanjiran keluar modal insan dan golongan muda. Dengan kemasukan pelaburan projek berimpak tinggi, kita berharap dapat menawarkan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini