Pembantu tadbir kanan didakwa terima rasuah ansuran MPV - Utusan Malaysia

Pembantu tadbir kanan didakwa terima rasuah ansuran MPV

YUSLIZA Othman @ Yusof (depan) yang dituduh menerima rasuah membabitkan bayaran ansuran sewa beli sebuah MPV dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu tadbir kanan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) mengaku tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah membabitkan bayaran ansuran sewa beli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berjumlah keseluruhan RM65,148 sejak tahun 2022.

Tertuduh, Yusliza Othman @ Yusof, 51, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Mengikut kertas pendakwaan, Yusliza dituduh menerima suapan berupa bayaran ansuran sewa beli sebuah MPV jenis Honda Stream berjumlah RM1,068.00 sebulan oleh sebuah syarikat pembekal.

Pemberian rasuah didakwa sebagai dorongan untuk memudahkan syarikat pembekalan itu memperoleh kerja-kerja pembekalan dengan MPK.

Perbuatan itu didakwa berlaku secara berterusan dari tahun 2017 sehingga 2022.

Yusliza didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM12,000 dan seorang penjamin.

Dia juga diarahkan menyerahkan pasport antarabangsa dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga prosiding selesai.

Mahkamah juga melarang Yusliza mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang tempoh prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala tertuduh pula diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN