Pelajar perlu fokus tetapkan matlamat - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pelajar perlu fokus tetapkan matlamat – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama ratusan guru dan pelajar SMK Kinabutan ll di Tawau, Sabah kelmarin. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Setiap pelajar perlu mempunyai tahap fokus dan memberi tumpuan yang tinggi serta berkemampuan menetapkan matlamat masing-masing dengan jelas dalam apa jua tindakan dilakukan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha bagi mencapai kecemerlangan luar dan dalam kelas yang telah ditetapkan juga perlu dilaksanakan bagi memastikan ia tercapai.

Baginda bertitah, elemen ini penting bagi memastikan mereka tidak akan tertinggal atau tercicir maklumat yang penting ketika proses pembelajaran dan pengajaran sedang berlangsung.

“Para pelajar perlu bijak dalam menguruskan masa dengan aktiviti seharian. Jadual harian dan juga jadual sekolah perlu seimbang bagi memastikan pelajar tidak terlalu fokus akan aktiviti dalam atau luar institusi sahaja,” titah baginda,

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan ll anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai PPD Tawau, Matnoor Haji Sima dan Pengetua SMK Kinabutan ll, Sharifuddin Kamarzaman.

Turut terlibat sama adalah penyelaras program Titian Kasih, Jumariah Samsuddin dan Penyelaras YTSP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Seramai 539 orang pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan tiga terlibat dan mendapat pelbagai maklumat berguna daripada program tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan perasmian Dewan Sharifah Khatreena Nuraniah mengambil sempena nama anakanda sulung baginda di sekolah tersebut yang berfungsi sebagai dewan serba guna untuk aktiviti warga sekolah.

Pelbagai sumbangan lain turut disalurkan melalui YTSP sempena Titian Kasih pada kali ini antaranya adalah melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazim Mohd Noor berbentuk wang tunai untuk kegunaan program dakwah di SMK Balung dan SMK Kinabutan II.

Selain itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Perlis turut menyumbang wang tunai untuk program berbuka puasa di lapan buah sekolah berasrama di Tawau.

Pada program kali ini, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Perlis juga turut menyumbang kepada 100 orang pelajar B40 di SMK Balung oleh Pengarahnya, Raja Syahriman Raja Halimul Rashid dan Yayasan Islam Perlis (YIPs) menyumbang wang tunai kepada beberapa buah sekolah berasrama untuk program ilmu oleh pengarahnya, Noorhamizi Mohd Yaacob.

Turut disampaikan ialah koleksi buku-buku Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) daripada Ketua Pengarahnya, Dr. Hazami Jahari; satu unit sistem siar raya untuk asrama di SMK Balung daripada Rajasekaran Advocates & Solicitor oleh pengarahnya, Datuk M. Rajasekaran.

Turut sama menyalurkan sumbangan ialah Presiden Yayasan Kebajikan Perlis, Affendi Rajini Kanth berupa wang tunai kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk kegunaan sekolah selain buku-buku ilmiah kepada SMK Balung dan SMK Kinabutan ll daripada Perpustakaan Awam Negeri Perlis melalui pengarahnya, Abd. Rahim Husin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya