Pelajar gagal saman bekas guru

Pelajar gagal saman bekas guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar tingkatan 1 gagal dalam tuntutan samannya terhadap tiga pihak termasuk bekas guru sekolah kebangsaannya yang didakwa telah memukul kepala pelajar berkenaan dengan penyapu sehingga terpaksa menerima lima jahitan, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas mendapati keterangan plaintif tidak disokong oleh mana-mana pihak.

“Daripada keterangan saksi-saksi plaintif, hanya plaintif sendiri (SP1) berada di tempat kejadian dan ia tidak disokong oleh saksi-saksi lain.

“Keterangan saksi plaintif hanya disokong oleh pegawai penyiasat yang merupakan SP2 dan ayah plaintif yang merupakan SP3 yang tidak berada di tempat kejadian.

“Mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama, kedua dan ketiga. Oleh itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos RM5,000 dibayar kepada defendan pertama dan RM5,000 kepada defendan kedua serta ketiga,” kata hakim itu.

Pada 17 Oktober 2022, pelajar berkenaan yang diwakili bapanya selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan bekas guru Bahasa Melayu yang kini berusia 60 tahun, guru besar sekolah kebangsaan berkenaan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada ketika kejadian yang berlaku pada 18 Oktober 2019, plaintif berusia lapan tahun dan berada di tahun dua.

Menurut penyataan tuntutan, plaintif mendakwa ketika sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu, kira-kira pukul 3 petang, dia dan juga seorang lagi murid nampak guru berkenaan sedang mengejar seorang lagi rakan sekelasnya sambil memegang sebatang penyapu.

Plaintif mendakwa semasa dia hendak kembali duduk di mejanya, guru berkenaan secara tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu berkenaan dan dia telah mengalami kecederaan serta pendarahan yang banyak.

Hasil pemeriksaan di klinik mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian atas kepala dan telah menerima lima jahitan serta kepalanya terpaksa dibalut dengan bagi menutup luka.

Sementara itu, Guru Bahasa Melayu itu dalam pembelaannya menyatakan, dia tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid-murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.

Guru berkenaan mendakwa kecederaan yang dialami plaintif adalah akibat kenakalannya sendiri yang mana plaintif telah terhantuk dan terkena bucu kayu (tempat letak kapur) papan hitam lama yang diletakkan papan putih di atasnya ketika plaintif cuba meloloskan diri dari tempatnya tersekat di antara meja guru dengan papan putih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN