PD lebih ‘bahagia’ selesaikan isu lalu lintas sesak

PD lebih ‘bahagia’ selesaikan isu lalu lintas sesak

PORT DICKSON yang terkenal dengan pantai-pantai peranginannya diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 bandar paling bahagia di negara ini pada tahun ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Di sebalik pengiktirafan sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini, Port Dickson diakui masih memerlukan penambahbaikan dalam beberapa aspek termasuklah berkaitan lalu lintas.

Perkara tersebut turut diakui Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menjelaskan isu kesesakan lalu lintas terutama semasa hujung minggu menjadi perkara utama yang perlu diberikan keutamaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan malah berkata, penduduk Port Dickson pasti lebih ‘bahagia’ jika perkara tersebut dapat diselesaikan.

“Banyak perkara lain yang boleh ditambah baik di Port Dickson, infrastruktur, kemudahan awam, ini perlu disegerakan demi kemudahan penduduk dan pelancong selain membantu meningkatkan pendapatan peniaga apabila pelancong bertambah.

“Namun begitu, kita mahu selesaikan isu kesesakan lalu lintas pada hujung minggu, jika dapat diselesaikan alangkah bahagianya, dalam keadaan sesak mereka bahagia, kalau tidak sesak tentu lebih bahagia,” katanya di sini.

Aminuddin bagaimanapun mengakui, sebagai sebuah bandar pelancongan sudah tentu kesesakan itu menunjukkan kehadiran ramai pengunjung sekali gus membawa pulangan rezeki kepada peniaga-peniaga.

“Bagi saya itu adalah rezeki pula kepada peniaga-peniaga, untuk Port Dickson jika tidak sesak bimbang juga, orang tempatan marah tetapi kepada peniaga ia memberikan rezeki, apabila orang ramai berbelanja,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Port Dickson bersama sembilan bandar lain iaitu Cameron Highlands, Jeli, Jerantut, Kuala Terengganu, Lenggong, Bandar Raya Melaka, Petaling Jaya, Kulai dan Rompin diiktiraf sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini.

Pengiktirafan itu melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Indeks kebahagian itu merangkumi 14 komponen penilaian antaranya alam sekitar, pemimpin tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), infrastruktur asas, keseronokan bekerja dan hubungan jiran serta tahap stres.

Aminuddin dalam pada itu berkata, pengiktirafan tersebut sesuatu yang menggembirakan apatah lagi Port Dickson merupakan sebuah daerah majmuk, iaitu jumlah penduduk Melayu dan bukan Melayu adalah seimbang.

“Ini menunjukkan tidak semestinya dalam kawasan ada satu kaum sahaja boleh bahagia, dalam keadaan bercampur gaul, hormat-menghormati itu juga boleh, saya rasa ini merupakan pengiktirafan yang baik, saya juga hargainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN