Paul Yong ada peluang rogol pembantu rumah dalam 30 minit

Paul Yong ada peluang rogol pembantu rumah dalam tempoh 30 minit – Hakim

Paul Yong Choo Kiong ketika hadir di Mahkamah Rayuan bagi mengurangkan sabitan hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejadian rogol membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Paul Yong Choo Kiong dan pembantu rumahnya warga Indonesia boleh berlaku dalam tempoh 30 minit mereka ditinggalkan berseorangan di rumah lelaki berkenaan.

Menurut keterangan sebelum ini, dalam tempoh tersebut, isteri dan anak Choo Kiong telah keluar untuk membeli makanan di restoran makanan segera berdekatan.

Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa rumah bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu dipecah masuk oleh mana-mana individu dan pembantu rumahnya yang ketika itu berusia 23 tahun pernah melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki.

“Isteri dan anak perayu telah ke restoran makanan segera berdekatan. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kereta membawa isteri dan anak perayu meninggalkan rumah sekitar 8.37 malam dan pulang ke rumah pada 9.01 malam.

“Oleh itu terdapat 30 minit, perayu dan mangsa ditinggalkan berseorangan di dalam rumah. Dalam tempoh itu, terdapat kemungkinan rogol itu berlaku.

“Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kesan koyakan baharu pada selaput dara mangsa dan lelasan pada faraj mangsa dilakukan oleh perayu sebagaimana didakwa oleh mangsa,”kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azman Abdullah.

Tambahnya, hakim bicara juga tidak terkhilaf apabila menerima pakai keterangan mangsa yang dianggap sebagai saksi yang dipercayai keran beliau mempunyai kelebihan apabila mendengar dan melihat kelakuan mangsa ketika memberi keterangan.

“Terdapat dapatan fakta yang jelas dibuat oleh hakim bicara selepas mendengar keterangan saksi dan meneliti kesemua bukti yang dikemukakan. Hakim bicara bukan sahaja membuat keputusan berdasarkan keterangan mangsa tetapi turut mengambil kira bukti-bukti lain yang menyokong.

“Walaupun terdapat percanggahan, percanggahan tersebut bukanlah sesuatu yang material. Kami juga tidak menemui sebarang alasan untuk mangsa mereka-reka ceritanya,” kata Hakim Azman.

Hakim itu berkata demikian ketika membaca penghakiman majoriti 2-1 panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail. Seorang lagi hakim yang turut bersidang bersama, Hakim Datuk S.M. Komathy Suppiah menentang terhadap keputusan itu.

Walaupun mengekalkan sabitan salah terhadap Choo Kiong, panel terbabit memutuskan untuk meminda hukuman penjara yang dikenakan terhadap lelaki itu daripada 13 tahun kepada lapan tahun. Hukuman sebat dua kali dikekalkan.

Panel turut membenarkan permohonan pembelaan untuk menggantung pelaksanaan hukuman itu bagi memberi peluang kepada Choo Kiong merayu buat kali terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, ketika membaca penghakiman menentang, Hakim Komathy menyatakan hak perayu (Choo Kiong) telah diprejudiskan apabila hakim bicara mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa.

“Terdapat percanggahan dalam keterangan mangsa yang pada mulanya mengadu mengenai gangguan seksual kepada Kedutaan Indonesia sebelum menimbulkan dakwaan dirogol beberapa jam kemudian iaitu ketika membuat laporan polis.

“Selain itu, keterangan pegawai perubatan juga tidak menolak kemungkinan bahawa koyakan pada selaput dara itu boleh berlaku akibat onani,” kata hakim itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN