KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan situasi masih terkawal walaupun terdapat laporan harga ayam meningkat sebanyak 30 sen.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini kerana harga ayam belum melepasi harga siling RM11.40 yang pernah ditetapkan sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, adalah di luar dasar ditetapkan kementerian jika terdapat pihak menjual ayam pada harga mahal.
“Libat urus sentiasa diadakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memantau. Dalam laporan bulanan, harga ayam agak stabil kalau dibanding dengan harga yang kerajaan letak dahulu iaitu harga siling RM11.40. Setakat ini belum lagi mencecah ke arah itu.
“Kalau di pasar raya masih lagi dijual dengan harga bawah RM9. Kadang-kadang RM7.90, kadang-kadang RM8. Umumnya, kalau ada yang jual mahal, itu bukan kerana dasar umum.
“Namun, kami akan pantau laporan dan kenaikan 30 sen ini. Libat urus kita adakan sentiasa sama ada dengan penternak kecil ataupun besar yang menguasai pasaran,” katanya semasa pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid [PN-Padang Terap] yang menunjukkan keratan akhbar memaparkan laporan harga ayam naik 30 sen sebanyak tiga kali, sekali gus bercanggah dengan kenyataan kementerian yang harga ayam agak stabil.
Mohamad sebelum itu menjawab soalan Sim Tze Tzin [PH-Bayan Baru] berhubung harga ayam naik mendadak atau berdepan kekurangan bekalan pasaran selepas pemansuhan subsidi serta kawalan harga.
Pada 30 Oktober tahun lalu, kerajaan mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya bermula pada 1 November 2023, mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam mula stabil.
Katanya, berdasarkan pemantauan harga ayam dijalankan DVS di ladang secara bulanan, harga ayam adalah stabil.
Jelasnya, harga ayam di ladang yang direkod di seluruh Semenanjung sejak November 2023 ialah RM5.85/kg; Disember 2023 (RM6.39/kg); Januari 2024 (RM6.13/kg) dan Februari 2024 (RM6.03/kg).
“Bekalan ayam juga pada masa kini adalah stabil dan faktor ini turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa,” katanya. – UTUSAN











