Parlimen bukan ‘mahligai’ - Johari

Parlimen bukan ‘mahligai’ – Johari

JOHARI Abdul (tiga kanan) bersama wakil rakyat setempat meraikan kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Insan Berkat, Sungai Jagung pada majlis Menuju Ambang Ramadan Bersama Rakyat, Asnaf dan Anak Yatim Daerah Sungai Petani. -GAMBAR/ PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Stigma masyarakat yang menganggap institusi Parlimen hanya sebagai ‘mahligai’ yang terasing daripada kehidupan masyarakat perlu diubah.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, peranan sebenar Parlimen perlu dihayati oleh rakyat khususnya golongan muda yang bakal mengambil alih pemerintahan negara suatu hari nanti.

“Kita tahu masih terdapat segelintir masyarakat khususnya dari luar bandar yang menganggap Parlimen hanya sebagai tempat ahli Parlimen bersidang, bergaduh, bertepuk meja dan bertengkar sedangkan Parlimen adalah tempat membuat undang-undang.

“Parlimen tidak boleh renggang daripada rakyat kerana apa juga keputusan dalam Parlimen bukan sahaja sampai kepada pemerintah semata-mata tetapi akan turut diterima oleh peringkat bawah seperti rakyat,” katanya pada majlis Menuju Ambang Ramadan Bersama Rakyat, Asnaf dan Anak Yatim Daerah Sungai Petani di sini, semalam.

Johari berkata, siaran langsung persidangan Dewan Rakyat misalnya memberikan pendedahan kepada rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku di Parlimen dan peranan yang dimainkan oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

“Rakyat boleh menilai, kita tidak mahu rakyat cuma menilai prestasi ahli Parlimen lima tahun sekali sebelum pilihan raya, tetapi kita nak lihat sama ada wakil rakyat kita bercakap bagi pihak kita dalam hal-hal yang kita nak dia bercakap.

“Dalam isu harga barang, tentang hal-hal keselamatan di tempat kita, pendidikan, perniagaan, beras, ayam dan macam-macam yang kita lalui kesusahan, wakil rakyat kita mesti bercakap di Parlimen,” katanya.

Tambahnya, beliau selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat turut memainkan peranan menyampaikan fungsi Parlimen kepada pelbagai lapisan masyarakat khususnya anak muda yang belajar di universiti.

“Saya berjumpa dengan ribuan anak muda di universiti dan menerangkan peranan sebenar Parlimen dan negara ini yang milik kita semua.

“Ini bagi memberi ruang mereka bersedia daripada segi mental dan fizikal kerana suatu hari nanti mereka akan mengambil alih pemerintahan negara dan bersidang dalam Parlimen untuk buat undang-undang,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×