PUTRAJAYA: Pakaian yang yang bercirikan kesopanan wajar diangkat menjadi sebahagian daripada kod etika berpakaian di negara ini.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, kerajaan sebelum ini membuat pembaharuan dengan membenarkan pakaian kemeja lelaki tanpa tali leher sebagai sebahagian daripada pakaian rasmi.
Justeru, katanya, Yadim berharap agar pada masa hadapan masyarakat Malaysia akan lebih jelas dalam isu seperti ini antara keperluan menjaga hubungan dan hormat dengan kepercayaan serta pegangan agama.
“Yadim menggesa supaya berpakaian sopan di khalayak ramai hendaklah menjadi amalan bersama, bukan hanya dalam kalangan umat Islam bahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas berhubung isu pemakaian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menimbulkan kontroversi susulan penampilannya yang berselendang semasa mesyuarat bersama Universiti Monash sempena lawatan delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Melbourne, Australia pada Isnin lalu.
Dalam hal ini, Yadim menyeru masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama diseru berfikiran terbuka, menjauhi prasangka serta cepat membuat kesimpulan dan hukuman dalam memberi komen dalam isu-isu seperti insiden ini.
Katanya, sikap yang diambil Hannah wajat dicontohi memandangkan ia adalah satu toleransi atas dasar semangat menghormati tanpa membelakangkan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.
Beliau berkata, pakaian tersebut tidak menggambarkan simbol keagamaan tetapi melambangkan kesopanan dan tertib serta hormat sesuatu majlis yang merupakan cerminan ketinggian keperibadian insan rakyat Malaysia.
“Yadim juga memuji tindakan dan keputusan Hannah dalam memilih untuk memberi keutamaan kepada ketepatan masa berbanding urusan pakaian.
“Ia kerana tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri, yang diawalkan masa sejurus selepas pertemuan di Al-Takwa College, Melbourne.
“Yadim melihat keputusan ini suatu yang terpuji dan perlu dicontohi dari sudut memberi keutamaan (aulawiyat) kepada satu perkara yang lebih besar iaitu menepati masa, menghormati tetamu dan temujanji,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










