Orang ketiga antara punca cerai

Orang ketiga antara punca perceraian

syariah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 79,297 permohonan kes perceraian didaftarkan di mahkamah syariah seluruh negara bagi dari 2020 hingga 2022 dan masalah orang ketiga antara punca masalah itu.

Rekod perceraian pada tahun 2022 menunjukkan angka tertinggi iaitu sebanyak 31,306 kes berbanding 22,166 pada tahun sebelumnya dan 25,846 pada tahun 2020.

Selangor mencatatkan jumlah permohonan perceraian tertinggi iaitu 18,193 kes, diikuti Johor 9,291 kes; Kelantan (8,596); Pahang (7,278) dan Kedah 7,150 kes; manakala Perlis merekodkan kes terendah sebanyak 1,175 kes.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, terdapat suami yang tidak mampu memberi nafkah isteri dan anak-anak setelah mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua, ketiga atau keempat.

Menurutnya, tiada persefahaman adalah alasan perceraian paling utama disebabkan masalah komunikasi, tidak memberi nafkah atau kewangan dan pengabaian perasaan pasangan selain mengetepikan tanggungjawab agama serta masalah kesihatan.

“Punca pasangan tidak dapat membina komunikasi berkesan dalam perhubungan adalah disebabkan pasangan suka menggunakan kata-kata kesat, pendiam dan tidak suka bercakap, sukar dibawa berbincang dan sikap mementingkan diri sendiri.

“Terdapat juga kes kegagalan komunikasi ini berakhir dengan keganasan rumah tangga seperti memukul. Ini jelas menunjukkan komunikasi yang tidak berkesan membawa kepada ketidakfahaman dalam memahami kehendak, harapan dan impian masing-masing,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Na’im berkata, kegagalan memberi nafkah sara hidup adalah berpunca daripada suami meninggalkan isteri, tidak mempunyai kerja atau pendapatan tetap selain bergantung sumber kewangan pada ibu bapa sendiri.

Jelasnya, keengganan suami dalam menyempurnakan tanggungjawab mereka dalam bab nafkah menyebabkan isteri terpaksa menanggung keluarga sehingga bertahun lamanya.

Hal ini katanya, lama kelamaan menyebabkan pihak isteri sudah tidak dapat bersabar dan merasakan perceraian adalah jalan terbaik bagi mereka.

“Sikap suami yang leka dengan telefon bimbit, tidak meluangkan masa, mengaibkan isteri di hadapan khalayak, tidak menghargai isteri serta berat tulang dalam membantu urusan rumah tangga menyebabkan isteri makan hati, memendam perasaan dan terluka dengan sikap suami,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, peningkatan perceraian ini agak membimbangkan kerana boleh memberi kesan besar terutama kepada generasi akan datang serta negara keseluruhannya.

Katanya, anak-anak yang membesar dalam keluarga berpecah-belah boleh mengalami tekanan emosi, kurang kasih sayang, perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa.

Apabila berlaku pengabaian nafkah, jelas beliau, anak-anak tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi sehingga ada yang tidak dapat meneruskan pengajian mereka seterusnya memberi kesan kepada masa depan anak-anak ini.

Wanita yang diceraikan pula, katanya, mengalami kesukaran untuk membesarkan anak-anak mereka jika tidak bekerja apatah lagi apabila bekas suami culas membayar nafkah anak-anak selepas berlaku perceraian.

“Dari sudut perkhidmatan di mahkamah syariah pula, ia akan memberi kesan kepada lambakan pendaftaran kes yang mengakibatkan sesuatu kes mengambil masa lebih panjang.

“Melalui satu pendaftaran kes perceraian, ia akan mencetuskan beberapa lagi pendaftaran kes yang berbangkit daripada perceraian tersebut seperti hak jagaan anak, nafkah iddah, nafkah anak, mutaah dan harta sepencarian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×