ALOR SETAR: Monopoli pembelian padi oleh kilang-kilang gergasi yang membentuk rangkaian kartel didakwa menjadi punca kehilangan beras tempatan di pasaran termasuk kegiatan menukar kampit untuk dijadikan sebagai beras import.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi berkata, pihak terbabit bukan sahaja memiliki kilang menyimpan dan memproses padi bahkan turut mempunyai syarikat pemborong dan peruncit sendiri yang mengawal 80 peratus pasaran beras negara.
Katanya, apabila situasi itu berlaku, pengilang kecil terutamanya yang diusahakan oleh pengusaha bumiputera tidak dapat bersaing terutamanya untuk mendapatkan stok belian padi daripada pesawah atau orang tengah.
“Padi yang ada di kilang mereka terus disalurkan kepada peruncit yang juga dimiliki rangkaian itu setelah siap proses untuk dijadikan beras. Perkara ini yang menyebabkan wujudnya monopoli sehingga mereka ada kawalan terhadap makanan ruji negara.
“Kerajaan ada polisi yang digubal tetapi mereka ini seolah-olah memiliki polisi tersendiri yang lebih berkuasa disebabkan kekurangan yang terdapat dalam Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
“Dalam situasi sekarang ini kalau mereka nak buat perkara yang lebih menghuru-harakan pun boleh sebab mereka yang pegang stok padi dan beras, bayangkan apa akan terjadi kalau mereka tidak mengedarkan beras ke pasaran termasuk beras import,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan pengilang atau pengeluar beras didakwa mengaut keuntungan sehingga RM6.32 juta sehari melalui kegiatan menukar bungkusan kampit beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI).
Musonnef berkata, kilang-kilang gergasi terbabit mampu membeli padi sehingga mencecah RM2,000 per tan metrik daripada pesawah untuk memonopoli bekalan padi tempatan walaupun harga lantai ditetapkan kerajaan RM1,300 per tan metrik.
“Jadi bagaimana nak jual beras tempatan pada harga RM26 bagi sekampit 10 kilogram (kg) akibat harga belian padi sudah tinggi. Maka, perkara yang boleh dilakukan untuk mendapatkan kembali kos tersebut termasuk mengaut untung berlipat ganda adalah dengan menukar kampit beras tempatan sebagai beras import,” katanya.
Kata beliau, pengilang gergasi juga memperolehi bekalan padi sehingga 100,000 metrik tan setiap kilang bagi tempoh setahun berbanding kilang-kilang kecil yang hanya mampu sekitar 10,000 metrik tan setahun.
“Hanya tinggal 11 kilang Melayu dengan keupayaan yang terhad dan menanggung bebanan ketika ini, tidak mustahil akan lenyap kilang-kilang ini yang wujud sejak era Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN),” ujarnya.
Justeru, Musonnef berharap kerajaan dapat segera meminda Akta 522 bagi menamatkan sabotaj bekalan beras tempatan ketika ini kerana penguatkuasaannya yang lemah akan memihak kepada kartel-kartel tersebut.
“Selain itu, wujudkan kuota bekalan padi setiap kilang bagi mengelak monopoli. Tumpuan juga harus diberi dalam membantu pemborong Melayu mendapatkan jaminan bekalan beras tempatan daripada kilang-kilang,” katanya. – UTUSAN











