GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim menegaskan dia akan terus bekerja dan berkhidmat bagi kesejahteraan rakyat Gua Musang walaupun berdepan dengan isu pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang itu berkata, walaupun menerima pelbagai tuduhan dan kecaman beliau masih bersemangat untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Berkenaan hubungan saya dengan kepimpinan tertinggi parti Bersatu, sehingga ke hari ini kita tidak ada apa-apa masalah dan apa yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas pada Sabtu lepas adalah cadangan untuk membuat pindaan kepada perkara 10,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan dan kelengkapan persekolahan pada Program Penyampaian Sumbangan Kerajaan Madani sempena menyambut Ramadan dan pembukaan penggal Baru Persekolahan 2024 di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini, semalam.
Mohd. Azizi memberitahu, beliau akan terus komited dan konsisten untuk menyokong Perdana Menteri dan sehingga kini menegaskan dia masih ahli Bersatu.
“Cuma yang kita faham apa yang dikeluarkan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam kenyataan beliau menyatakan sekiranya pindaan diluluskan, dia akan menghantar surat kepada saya, jadi buat masa ini kita andaikan tidak ada pun pindaan.
“Kita kena terima hakikat bahawa pindaan itu adalah undang-undang kecil dan prosesnya agak lama. Buat masa ini saya tak komen lebih berkenaan tindakan tersebut,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu berjaya meminda perlembagaan parti dalam usaha untuk menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah pada masa hadapan.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada Sabtu, di mana perwakilan parti sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 perlembagaan Bersatu. – UTUSAN










