IPOH: Seorang peniaga dikenakan hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB), tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ibrahim Osman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, R. K. Sandra Segar, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil.
Tertuduh turut berhadapan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM8,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM3,000 kepada seorang pegawai TNB , Shamsul Ariffin Rahaman, 38, melalui Mohd. Ashraf Mohd. Yunus, 40.
Suapan itu sebagai satu balasan untuk pegawai terbabit tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 37(3)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) kerana tertuduh dengan curangnya mengambil elektrik bagi premisnya di Taiping.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Taiping pada pukul 6.10 petang, 1 Mac 2021.
Tertuduh juga berhadapan pertuduhan kedua apabila memberi suapan RM3,500 kepada individu sama bagi tujuan serupa di kafe sebuah hotel di pada pukul 5.50 petang, 8 April 2021.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak sampai 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM, Mohamad Pahmi Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










