HATYAI, THAILAND: Agensi media utama di Malaysia dan Thailand perlu bekerjasama dengan akrab dalam mengukuhkan lagi hubungan dua negara terlibat demi kepentingan secara bersama.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kerjasama tersebut bakal memberi manfaat dalam sektor seperti keselamatan, ekonomi, pelancongan dan pelbagai lagi.
Titah baginda, pengamal media di dua negara jiran ini juga perlu menyemai rasa hormat antara satu sama lain dan bertolak ansur dengan semangat kekitaan menerusi karya penulisan masing-masing.
“Meskipun berbeza bahasa, namun ia bukanlah penghalang. Pertingkatkan perkongsian berita dan maklumat bermanfaat kepada kedua-dua pihak dengan pantas, sahih dan tepat menerusi saluran media massa, digital ataupun media sosial,” titah baginda sewaktu Hari Media & Pelancongan Malaysia-Thailand di Hotel Yannaty, di sini, semalam.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjasama Sempadan, Izizam Ibrahim.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, media sewajarnya memainkan peranan dalam memperhebatkan lagi silaturahim antara kerajaan dengan kerajaan (G2G), ’business-to-business’ (B2B) dan ’people-to-people (P2P) khususnya seperti Thailand dan Malaysia.
“Pengamal media sepatutnya melaporkan perkara-perkara yang positif, membina dan mampu memperkukuhkan lagi hubungan dua hala negara,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengamal media juga diharap dapat mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMPs) bagi membantu menarik lebih ramai kehadiran pelancong ke negeri itu.
Katanya, media dari dua negara ini juga harus membantu dalam mengangkat Perlis sebagai salah satu destinasi pelancongan mesra Muslim.
“Semoga, apabila lebih banyak pengunjung dari Thailand bertandang ke Perlis, mungkin masa penutupan sempadan di Padang Besar akan dilewatkan dari pukul 10 malam ke 12 tengah malam waktu Malaysia, pintu masuk Kuala-Perlis akan dibuka semula serta ’free-flow’ di Wang Kelian dibenarkan kembali,” titah baginda.-UTUSAN










