Masalah air: Peniaga guna air mineral buat air balang

Masalah air: Peniaga guna air mineral buat air balang

SHAHIDATUL Azirah Johan (kiri) bersama ibunya menunjukkan air balang yang dijual di Bazar Ramadan Papar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Gangguan bekalan air di daerah ini memaksa peniaga bazar Ramadan mengambil inisiatif sendiri menggunakan air mineral untuk membancuh air balang.

Walaupun ada lori tangki air ditempatkan di bazar Ramadan namun, air itu hanya sesuai untuk digunakan bagi tujuan mencuci peralatan-peralatan yang digunakan untuk memasak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga, Shahidatul Azirah Johan, 27, berkata, bimbang dengan tahap kebersihan air disediakan, dia memutuskan untuk menggunakan air mineral bagi membuat air balang buah di gerai jualannya.

“Kami mahu memastikan air digunakan betul-betul selamat diminum. Jadi, biarpun perlu berbelanja sedikit untuk membeli air mineral namun, asalkan air balang yang diperbuat daripada buah-buahan asli digerai kami ini selamat diminum oleh pelanggan,” katanya.

Menurutnya, ketika cuaca panas memberi kelebihan kepada peniaga air kerana laris.

“Saya sendiri setiap hari 10 balang air pelbagai jenis memang habis. Kami bersyukur rezeki berniaga air balang pada bulan Ramadan ini agak baik. Kami jual air balang pada harga RM4 hingga RM6 bergantung kepada jenis cawan yang digunakan. Selain itu, kami turut menjual nasi katok dan nasi ayam berempah,” katanya.

Katanya, biarpun masalah air di Papar agak kritikal namun, mereka berasa lega apabila lori tangki air ditempatkan setiap hari di tapak bazar itu untuk memudahkan peniaga.

Sementara itu, peniaga, Azizah Abdullah, 51, pada minggu pertama Ramadan jualannya agak perlahan namun, memasuki minggu kedua, semakin ramai pelanggan yang datang singgah ke gerai jualannya.

“Tapi sekarang alhamdulillah, pelanggan semakin ramai dan jualan kuih-muih juga banyak yang terjual berbanding pada minggu pertama Ramadan,” katanya.

Katanya, memandangkan kampung mereka tidak berlaku gangguan bekalan air maka, tidak ada masalah untuk mereka menyediakan kuih-muih yang ingin dijual di bazar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN