SABAK BERNAM: Penahanan empat lelaki Myanmar yang menangkap hasil laut secara haram di perairan Sekinchan di sini, membongkar kepada penemuan syabu dan ketum, Ahad lalu.
Pemeriksaan lanjut ke atas bot nelayan dinaiki warga asing itu turut menjumpai peralatan menghisap dadah dan ubat batuk.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot kelas B1 itu ditahan pihaknya kira-kira 10.8 batu nautika barat Sekinchan, pukul 2.45 petang.
Menurutnya, bot tempatan itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia 30 hingga 38 tahun yang tiada dokumen pengenalan diri sah.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai tiga set peralatan menghisap dadah dan tiga paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki syabu dianggarkan seberat tiga gram.
“Turut ditemukan, tiga botol ubat batuk dan satu plastik hitam mengandungi daun ketum seberat kira-kira tiga kilogram (kg),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Abdul Muhaimin, satu tangki simpanan bahan api didapati turut diubahsuai dengan berisi 400 liter minyak diesel di bahagian depan dek bot tersebut
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Klang bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952, Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN










