KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengerahkan seramai 800 pegawai dan anggota bertugas dalam Operasi (Op) Khas Pagar Laut bermula 12 Mac lalu.
Operasi tersebut dipecahkan kepada empat fasa yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga 30 April ini bagi mengekang jenayah maritim termasuk aktiviti rentas sempadan secara haram oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang musim perayaan.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, operasi tersebut dilakukan di seluruh perairan negara seperti Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Selat Johor.
Menurutnya, strategi penguatkuasaan di perairan terlibat itu termasuklah memantau titik panas yang dikenal pasti menjadi laluan aktiviti jenayah terutamanya PATI yang menggunakannya untuk keluar dan masuk ke negara ini.
“Tetapi kita jangkakan dalam musim perayaan ini kemungkinan besar ada PATI yang akan pulang ke kampung halaman mereka di negara jiran sempena Hari Raya Aidilfitri nanti, jadi kita teruskan operasi mengekang dan membanteras pergerakan mereka.
“Aset-aset yang digerakkan akan sentiasa berwaspada terutama di sempadan negara, itu juga melibatkan aktiviti jenayah yang lain contohnya di Sabah melibatkan pencerobohan dan apa-apa jenayah yang akan berlaku di Laut Sulu dan Sulawesi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Khas Pagar Laut, hari ini.
Tambahnya, Maritim Malaysia turut memperketat kawalan di Laut China Selatan yang kerap menjadi lokasi penyeludupan rokok dan dadah.
Jelas Hamid, menerusi operasi tersebut pada tahun lalu, Maritim Malaysia melakukan 42 tangkapan atas pelbagai kesalahan dan 12 daripadanya melibatkan kes berprofil tinggi seperti kemasukan PATI, penyeludupan dadah, rokok serta barang kawalan seperti petrol dan minyak masak melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM13 juta.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kesiapsiagaan aset-aset turut ditingkatkan upayanya antara 75 hingga 80 peratus selepas agensi itu menerima peruntukan lebih RM485 juta daripada kerajaan.
“Dengan peruntukan RM485 juta dan lain-lain peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri, setiap negeri kita ada kapal dan aset lain untuk bertindak dan juga pesawat. Alhamdulillah, tengok peningkatan keupayaan antara 75 hingga 80 peratus.
“Malah, sekarang kita atur gerak setiap negeri sekurang-kurangnya ada dua aset di laut. Contohnya di Sarawak kita tambah kapal dan bot setiap masa kita letak enam atau tujuh buah di laut.
“Begitu juga di Sabah, dari Kota Kinabalu sehingga ke Tawau, itu lebih lagi, kita atur gerak sekurang-kurangnya enam kapal dan 15 bot untuk mendukung tanggungjawab menjaga kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM),” jelasnya. – UTUSAN










