PETALING JAYA: Golongan pemikir dan sarjana Eropah Islam menyarankan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan menentang kemaraan budaya islamofobia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah di Berlin, Jerman, kelmarin.
Menurut beliau, pertemuan itu melibatkan pemikir daripada Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT), Arab World Institute dan Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM).
“Kami menyentuh beberapa perkara antaranya peranan sarjana dan cabaran baru dengan semaraknya islamofobia di Eropah saat ini.
“Kami juga membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani permasalahan tersebut terutamanya di barat dan rakan-rakan sarjana turut mengusulkan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan menentang kemaraan budaya ini.
“Insya-Allah, saya bersama rakan-rakan akan terus menjadi penggerak utama bagi membasmi isu islamofobia,” katanya dalam perkongsian di laman sosial.
Dalam pada itu, Malaysia menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menangani islamofobia termasuk isu keganasan dan kebencian terhadap individu berdasarkan agama atau kepercayaan masing-masing.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia terus menjunjung Perkara 1 di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa ‘semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak’.
Dalam masa sama, Malaysia bimbang dengan pengiktirafan terhadap tindakan-tindakan provokasi, tidak menghormati dan tindakan yang menyinggung perasaan termasuk insiden pembakaran kitab suci al-Quran secara berterusan.
“Perkara ini akan terus menyemai sifat kebencian dan keganasan terhadap umat Islam dan golongan agama minoriti lain.
“Tindakan tersebut adalah manifestasi islamofobia yang amat berbahaya dan telah menular menjadi wabak sekali gus menyumbang kepada peningkatan keganasan di samping menormalisasikan kebencian terhadap umat Islam di seluruh dunia jika tidak dibendung,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun ketiga Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia semalam.
Mohamad berkata, manifestasi islamofobia juga akan menghakis usaha memupuk keamanan dan keharmonian di peringkat antarabangsa.
Dalam hal ini, Malaysia alu-alukan pelbagai inisiatif PBB, Majlis Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Kerjasama islam (OIC) yang menyeru agar masyarakat antarabangsa mengukuhkan lagi usaha menggalakkan budaya toleransi dan keamanan.
Ia berdasarkan penghormatan kepada hak asasi manusia, kepelbagaian dan kepercayaan agama. – UTUSAN










