BUKIT MERTAJAM : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang akan memfokuskan operasi dengan menyasarkan majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
Pengarahnya, Nur Zulfa Ibrahim berkata, hal ini demikian kerana, ramai majikan yang sengaja tidak mahu memohon untuk mendapatkan permit sah atau melengahkan permohonan memperbaharui pas untuk pekerja warga asing yang digaji.
“Antara alasan yang kerap diberikan (majikan) adalah terlepas pandang, sibuk dan tidak sempat untuk memohon atau memperbaharui pas ketika pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguatkuasa.
“Malah, ada juga yang beri alasan kononnya tidak tahu kaedah untuk mendapatkan pas pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama pengamal media di pejabat JIM Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini hari ini.
Nur Zulfa berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah.
Tegasnya, operasi penguatkuasaan juga akan diteruskan bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Majoriti pendatang asing yang ditahan ini terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar yang kebanyakannya bekerja dalam sektor pengilangan dan pembinaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengenalpasti ‘hotspot’ warga asing yang menjadi di tumpuan golongan itu di negeri ini.
“Bagi kawasan seberang (Seberang Perai), tumpuan diberikan di sekitar Nagasari dan Juru manakala untuk kawasan pulau pula, lokasi tumpuan ialah Bayan Lepas dan Jelutong,” katanya.-UTUSAN










