PETALING JAYA : Bukan semua anak remaja perempuan berpeluang mendapat bimbingan dalam pendidikan digital, kemahiran memimpin, berkomunikasi sesama rakan sebaya dan di khalayak malah lebih teruk lagi tidak tahu bagaimana mengatakan tidak.
Sehubungan dengan itu, yayasan RYTHM, sebuah cabang impak sosial Kumpulan QI, konglomerat antarabangsa memperkenalkan Maharani Learning Lab 2.0 (MLL 2.0), sebuah ruang kepada remaja perempuan kelompok B40 mempelajari tentang pendidikan digital, pemerkasaan diri serta sokongan akademik selepas waktu persekolahan secara percuma.
Pengerusinya, Datin Sri Umayal Eswaran menekankan, keperluan untuk membebaskan diri daripada stereotaip tradisional dan membuka minda mereka mempunyai potensi dan kebolehan terpendam masih belum sepenuhnya diterokai.
“Setiap dua minit, akan ada seorang daripada anak-anak diluar sana yang terlibat dengan perkahwinan bawah umur dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku di usia mereka yang masih muda.
“Hak mereka untuk menikmati kehidupan remaja dengan kawalan kedua ibu bapa yang matang dan persekitaran yang saling menyokong sangat diperlukan.
“Di Maharani, kami melatih untuk menyakskan perubahan supaya anak-anak tersebut mampu bersuara dan perjuangkan hak mereka. Jika tidak, perkara ini akan berterusan untuk 150 tahun akan datang dan tiada apa yang akan berubah.
“Masih ada kaum wanita yang dizalimi dan dipandang rendah. Bagi mengatasi masalah ini, pendidikan adalah kunci membuka minda dan pandangan mereka kerana ia adalah asas kepada masa depan yang lebih cerah,” ujarnya selepas majlis pelancaran Maharani Learning Lab yang terletak di The ZIZZ, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.
Umayal menambah, pembukaan MLL merupakan komitmen yayasan untuk mengubah cara fikir di kalangan remaja perempuan dan keluarga B40 supaya kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperolehi mendorong mereka untuk lebih berani berhadapan dengan cabaran hidup dan bagaimana mengatasinya pada masa hadapan.
“Sejak dahulu lagi, lelaki dilihat lebih beruntung dalam segenap segi dan masih wujud pandangan stereotaip masyarakat, kaum perempuan lebih banyak ketinggalan dalam banyak aspek. Sedangkan kaum wanita mempunyai kebolehan yang baik jika diberi peluang malah mereka mempunyai banyak kepimpinan yang luar biasa,” katanya.
Tambahnya, MLL dibuka kepada pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar dan di sini ditawarkan kelas tambahan bagi subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik sebagai persediaan awal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pembelajaran aplikasi digital seperti Canva, MS Office, dan pengekodan (coding).
Ia termasuk inisiatif membantu peserta mengharungi cabaran hidup seperti kemahiran komunikasi di khalayak ramai dan membentuk jati diri.
Komitmen memperkasakan pelajar perempuan belasan tahun ini menunjukkan dedikasi yayasan menangani jurang pendidikan dengan menyediakan pembelajaran yang boleh diakses secara percuma dan memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Salah seorang ibu pelajar, Subhashini Muralidharan berkata, banyak perubahan dalam diri anak perempuannya yang dihantar ke MLL.
“Anak saya lebih positif, minat bersekolah dan belajar menguruskan masanya dengan baik. Dia tidak sabar-sabar mengambil bahagian dalam aktiviti MLL sepanjang cuti sekolah dan berharap lebih ramai gadis remaja menyertainya.
“Aktiviti di sini membantu mereka berkembang melangkaui batasan sekolah, kerja rumah dan juga peperiksaan,” ujarnya.
Seorang peserta, Afiqah Umairah Asbarihan, 16, dari SMK Damansara Damai, mengakui perubahan menerusi pendekatan pembelajaran dan lebih memahami bagaimana merancang untuk masa hadapan.
“Maharani Learning Lab bukan sekadar tempat belajar tetapi di mana kemahiran saya dipupuk. Melalui bimbingan dan sokongan melalui aktiviti, saya diberi peluang untuk meruntuhkan halangan dari dalam diri sendiri.
“Pada masa hadapan saya juga sudah bersedia berhadapan dengan pandangan stereotaip sesetengah masyarakat. Lebih menyeronokkan di sini suara saya didengari dan kekurangan juga diterima oleh rakan sebaya dan kami bersama-sama memperbaikinya,” katanya.
MLL bermula pada 2015 dengan pusat pembelajaran di Sungai Siput, Perak, untuk kanak-kanak belajar dan menyertai program membina jati diri. Pada tahun 2021, program telah mengubah seluruh fokus inisiatif tersebut dan mengalih tumpuan kepada komuniti berhampiran ibu pejabat operasi Yayasan Rythm di Lembah Klang.
Pembukaan MLL adalah peningkatan strategik untuk menangani perubahan bagi keperluan dalam pendidikan pada masa sekarang. Ia menggabungkan teknologi canggih, dan kemahiran seperti realiti maya, robotik dan Internet of Things (IoT), menyediakan peserta untuk berjaya dalam dunia digital yang berkembang pesat.
MLL turut disokong Maharani School Program (MSP) yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Program sebelum dilaksanakan dengan yayasan PINTAR dan kini MSP menyokong pelajar perempuan sekolah menengah di beberapa buah sekolah Selangor dan Negeri Sembilan.
Maharani School Program telah memperkasakan lebih 8,000 gadis berumur 13 hingga 16 tahun sejak 2010 yang memupuk pembelajaran berasaskan eksperimen dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan penting untuk mengejar potensi sepenuhya.
Kedua-duanya menawarkan sumber dan sokongan penting kepada para wanita muda dan bersesuaian dengan kempen #RiseWithRYTHM yang sedang dijalankan.
Melalui program, ia mampu meluaskan jaringan peluang pendidikan dan menggalakkan kesaksamaan dan cerminan nilai yang penting, iaitu pendidikan sebagai pemacu utama setiap perubahan positif.










