Lindungi, perkasakan wanita dalam sistem kesihatan - Utusan Malaysia

Lindungi, perkasakan wanita dalam sistem kesihatan

TUANKU Zara Salim melawat pameran pada Simposium Wanita Dalam Kesihatan 2024 di Ipoh ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kehamilan remaja merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian berkenaan isu perlindungan wanita dalam sistem kesihatan.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menyentuh perkara tersebut ketika bertitah berkenaan penglibatan dan perlindungan wanita dalam sistem kesihatan.

Titah baginda, dua perkara penting tentang wanita dalam kesihatan ialah pertama, dari segi sumbangan tenaga kerja dan kedua akses mendapatkan rawatan serta perlindungan.

Baginda bertitah, perkara pertama tersebut selalu terlintas dalam fikiran apabila membincangkan soal kesihatan wanita, manakala aspek kedua yang kadangkala tidak cukup ditekankan adalah sama penting.

“Sesetengahnya, disebabkan kemiskinan, akses yang terhad, atau berdepan kesan daripada cabaran keadaan sosial. Secara buruknya menyebabkan situasi (wanita) terkeluar daripada sistem dan tiada ruang untuk dipulihkan,” titahnya.

Tuanku Zara bertitah demikian sewaktu berkenan menghadiri serta menyampaikan ucapan pembukaan Simposium Wanita Dalam Kesihatan 2024 di sini hari ini.

Titahnya lagi, usaha perlu diperluaskan untuk mendekati golongan tidak bernasib baik dengan memastikan akses kepada penjagaan kesihatan, menyediakan maklumat dan pendidikan selain diperkasakan tentang kesihatan mereka serta orang tersayang.

Baginda bertitah, usaha itu mesti merangkumi proses saringan awal dan mengesan penyakit yang boleh dicegah khususnya untuk wanita di kawasan terpencil seluruh negara.

“Selain itu, mesti meluaskan jangkauan kita untuk melibatkan mereka yang memerlukan perhatian, walaupun kadangkala disebabkan oleh keputusan yang telah membawa mereka ke jalan yang sukar.

“Kehamilan remaja sebagai contoh utama. Saya mahu melihat isu ini diangkat dalam forum ini. Tiada siapa yang harus dicela atau diperkatakan oleh kerana satu kesilapan dalam hidup,” titahnya.

Tuanku Zara turut menyentuh soal penglibatan pekerja wanita dalam sektor kesihatan yang berdepan situasi kekurangan kakitangan serta beban kerja yang boleh menggugat kualiti perkhidmatan.

“Sebagai ibu dan biasanya menjadi penjaga utama anak-anak, maka menjadi pertimbangan antara keperluan kerjaya dan keluarga.

“Lebih-lebih lagi semasa mengandung dan selepas bersalin. Inilah realiti kepada wanita bukan sahaja dalam bidang perubatan tetapi dalam semua kerjaya,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN