KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Bazar Ramadan Arena Kuala Kangsar di sini, untuk bersama-sama rakyat membeli juadah berbuka puasa.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat sama ke bazar tersebut yang dikunjungi kira-kira lebih 500 orang.
Baginda dan Tuanku Zara tiba di bazar tersebut pada pukul 4.58 petang dan disambut oleh Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Muhammad Nazri Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr. Sakduddin Zamli serta orang ramai yang berada di situ.
Para pengunjung bazar tidak melepaskan peluang untuk melihat secara dekat Sultan Nazrin dan Tuanku Zara.
Semasa mengunjungi kira-kira 240 gerai di situ, Sultan Nazrin sempat bertanyakan apa khabar kepada para pengunjung.
Pelbagai juadah berbuka puasa dijual di bazar tersebut yang popular dengan beberapa jenis makanan seperti murtabak, Putu Perak, Laksa Kuala serta beberapa lagi kuih popular tempatan.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara juga tidak ketinggalan membeli beberapa aneka makanan yang dijual selepas berada di sana kira-kira 30 minit. – UTUSAN










