Lewat 86 hari, reka bentuk terperinci LCS gagal dimuktamad

Lewat 86 hari, reka bentuk terperinci LCS gagal dimuktamad

PEMBINAAN kapal tempur pesisir (LCS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) gagal memenuhi garis masa baharu bagi projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), menyaksikan berlaku isu kelewatan pembinaannya selama 86 hari.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap tindakan susulan Mindef bagi syor-syor laporan jawatankuasa, berhubung kemajuan projek LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Jun hingga September 2023, projek itu hanya mencapai 67.28 peratus.

Laporan itu menjelaskan, kadar peratusan itu gagal mencapai jangkaan sebenar iaitu 68.77 peratus dalam Jadual Garis Masa Baharu yang ditetapkan kementerian sendiri pada Di­sember 2023.

“Kelewatan pembinaan LCS selama 86 hari perlu dipandang serius oleh Mindef, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Boustead Naval Shipyard (BNS).

“PAC mahu tindakan segera diambil bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut garis masa baharu projek LCS yang ditetapkan. Ia termasuk piawaian antarabangsa seperti mendapatkan kelulusan reka bentuk terperinci daripada pihak Naval Group Perancis,” kata laporan itu.

Laporan penuh itu dimuatnaik di laman sesawang rasmi PAC semalam.

Mengulas lanjut, dalam laporan itu PAC mendapati, isu kelewatan memuktamad reka bentuk terperinci terus menjadi masalah utama dalam pembinaan LCS.

Sedangkan, dalam syor PAC sebelum ini, Mindef perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan reka bentuk terperinci sepenuhnya, termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam perjanjian tambahan keenam (SA6).

Dapatan itu selepas Mindef memaklumkan status terkini bagi reka bentuk terperinci adalah 94.75 peratus siap oleh pihak limbungan di Lumut, Perak, manakala reka bentuk terperinci yang disahkan oleh Naval Group di Perancis pada tahap 85 peratus.

“Maka, isu ini masih gagal dimuktamad oleh Mindef dan Naval Group dan ia harus diatasi segera oleh TLDM dan BNS. Pasukan projek LCS perlu memberi perhatian khusus kepada perkara ini,” katanya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, PAC dalam laporan prosiding memaklumkan, pembinaan LCS hanya dijangka siap pada 2029 berbanding tempoh penyerahan aset berkenaan sepatutnya pada 2022.

Tempoh masa pembinaan LCS turut dilanjut kepada 83 bulan.

PAC mengesyor Mindef perlu memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserah kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.

Laporan itu juga mendedahkan isu utama berkaitan reka bentuk terperinci LCS belum diselesaikan, menyaksikan kadar siap di peringkat kontraktor pembinaan kini 96 peratus dan hanya 84 peratus melalui peringkat pengesahan, verifikasi dan kelulusan oleh pihak Naval Group dari Perancis sebagai penguasa reka bentuk LCS.

Berikutan itu, PAC menge­syor Mindef memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan reka bentuk terperinci sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group sebelum Ogos 2024 seperti yang terkan­dung dalam SA6. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×