SHAH ALAM: Isteri Mohd. Safee Mohd. Sali, Fitria Elfina Maharip, 44, mendedahkan dia sudah lebih sebulan tidak berjumpa dua anak mereka, yang kini berada bersama bekas pemain bola sepak kebangsaan itu.
Menurut Fitria Elfina, Safee Sali, 40, yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan itu telah mengambil Shanika Salsabilah Mohd. Safee, 9, dan Shania Safina Mohd. Safee, 7, pada 6 Februari lalu di rumah mereka ketika dia tiada di rumah.
“Selepas ambil anak, saya terus gagal berkomunikasi dengan mereka dan tidak tahu di mana mereka berada ketika ini.

“Memang sangat rindu dengan anak kerana saya tidak pernah berpisah dengan mereka (sejak mereka lahir),” katanya selepas menghadiri proses Sulh tuntutan penuh hak penjagaan anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini hari ini.
Proses tersebut berlangsung kurang dari sejam turut dihadiri Safee Sali, namun gagal mencapai kata sepakat apabila kedua-dua mereka tidak bersetuju dengan syarat yang masing-masing letakkan.
Sehubungan itu, Fitria Elfina memfailkan tuntutan Hadanah terhadap suaminya kepada pihak mahkamah, hari ini.
Usaha untuk menemubual Safee Sali gagal apabila Presiden Persatuan Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) itu mengelak bertemu pengamal media.
Sementara itu, Fitria Elfina memaklumkan suaminya ada datang ke rumah mereka pada 28 Februari lalu untuk mengambil barang Shanika Salsabilah dan Shania Safina.
“Safee datang ke rumah bawa keretanya tetapi balik ke tempatnya dengan menaiki Grab. Selepas dia balik, saya terus ke keretanya.
“Apabila buka pintu kereta, saya ada jumpa sepucuk surat dan surat itu ditulis oleh anak.
“Shanika dan Shania mengatakan mereka rindu saya. Malah, mereka cakap tidak selesa tinggal dengan dia (Safee Sali) kerana ada ‘orang’ yang marah mereka,” ujarnya.
Dia menegaskan akan terus memperjuangkan hak penjagaan anak sehingga Shanika Salsabilah dan Shania Safia kembali ke pangkuannya.
Sementara itu, peguam Syarie yang mewakili Fitria Elfina ketika dihubungi berkata, Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan sebutan semula tuntutan Hadanah pada 9 Mei ini.
“Proses Sulh hari ini gagal, justeru hari ini anak guam saya memfailkan tuntutan Hadanah kepada pihak Mahkamah hari ini,” ujarnya. – UTUSAN










