Langkah berjimat: Bersahur, berbuka ala kadar

Langkah berjimat: Bersahur, berbuka ala kadar

ERDAWATI Ali (kiri) melayan para pelanggan di kedai runcitnya di Jalan Kampung Paya, Kluang. -UTUSAN/LUQMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Umat Islam di bandar ini dilihat mengambil pendekatan berjimat cermat dalam menyambut kedatangan Ramadan dengan hanya membeli keperluan ala kadar untuk bersahur dan berbuka puasa.

Langkah itu dilakukan kerana harga kebanyakan barangan dapur meningkat menyebabkan perbelanjaan turut bertambah dan memerlukan orang ramai merancang dengan lebih baik kewangan mereka, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah. 

Seorang penduduk Taman Indah Jaya, Rosnah Samad, 38, berkata, keluarganya perlu berjimat cermat kerana sebelum ini sudah ‘berhabis’ banyak untuk perbelanjaan anak-anak bersekolah termasuk seorang daripada lima orang anaknya yang berjaya ke sekolah berasrama penuh.

“Cukuplah sekadar berlauk telur goreng serta sedikit sayur untuk bersahur, manakala untuk berbuka puasa esok sudah memadai dengan lauk ayam. 

“Keutamaan adalah menjalankan ibadah puasa tanpa perlu berlebih-lebih dengan makanan sehingga berlaku pembaziran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, seorang peniaga kedai runcit di Kampung Paya, Erdawati Ali, 39, berkata, jumlah pelanggan yang datang ke kedainya sama sahaja seperti hari biasa, selain tidak melakukan pembelian yang banyak.

Dia mengakui penduduk masih terkesan dengan kos perbelanjaan anak-anak memulakan sekolah menyebabkan mereka terpaksa membuat persiapan ala kadar untuk Ramadan. 

“Tidak mengapa jika kadar pembelian mereka tidak lagi ‘meriah’ seperti sebelum ini, kami faham dengan keadaan ekonomi masa, banyak yang perlu berjimat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN