PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) masih terus gagal memuktamad isu kutipan hasil pajakan tanah bagi projek pembangunan Hotel St. Regis bernilai RM3.19 juta dengan syarikat pengendalinya, INR Sdn. Bhd.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tanah yang diguna untuk membina hotel di pulau bebas cukai itu masih milik LADA.
Bagaimanapun katanya, status tanah secara pajakan yang diluluskan kerajaan negeri bagi pembangunan hotel menyebabkan perjanjian pajakan antara pemegang saham INR, tidak dapat disempurna kerana perjanjian pemegang saham asal menyatakan tanah diperoleh berstatus pegangan bebas atau ‘freehold’.
Katanya, perkara itu perlu diselesaikan secara berhemah antara Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri.
“Ini tidak sepatutnya menjadi isu antara kementerian dan kerajaan negeri memandangkan pengerusi bersama LADA adalah menteri kewangan (tidak dinamakan) dan menteri besar Kedah.
“Kegagalan menyempurnakan perjanjian ini menyebabkan berlaku isu pinjaman tidak berbayar (NPL) dengan Bank Pembangunan akibat syarikat INR gagal melunaskan bayaran ansuran kepada bank bagi pembiayaan tertunggak selama 24 bulan berjumlah RM27 juta sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, INR membuat perjanjian pinjaman daripada Bank Pembangunan (Bank Pembangunan Malaysia Berhad) sebanyak RM246.54 juta dan pinjaman daripada kerajaan berjumlah RM20 juta.
Katanya, lebih mengejutkan, saham-saham syarikat INR dimiliki LADA sebanyak 30 peratus; Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) (30 peratus) serta syarikat dari Indonesia, Rajawali Group (40 peratus), menjadikan Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham utama sebanyak 60 peratus.
“Kementerian perlu lebih proaktif menyelesaikan masalah yang timbul bagi pengurusan pembangunan hartanah LADA. Kerajaan tidak seharusnya menunggu begitu lama menyelesaikan isu ini,” katanya.
Isu kutipan hasil pajakan tanah projek pembangunan St. Regis (RM3.19 juta) sejak 2018 adalah satu daripada dua projek bernilai keseluruhan RM11.49 juta, yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.
LADA didapati turut gagal mengutip hasil pajakan bagi satu lagi projek dinamakan Perkampungan Tok Senik Resort, sebanyak RM8.30 juta sejak 2003.
LADA diperbadankan mengikut Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 untuk membangunkan Pulau Langkawi serta memajukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Mengulas lanjut, kata Mas Ermieyati, bagi projek Perkampungan Tok Senik Resort, LADA cuai dalam membenarkan Maju Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) mencagar tanah kepada Perwaja Terengganu Sdn. Bhd. (PTSB) yang mengakibatkan LADA hilang pemilikan tanah bagi projek tersebut.
“PAC menemukan tujuh isu utama melibatkan LADA dan Kementerian Kewangan dengan dua daripadanya melibatkan pengurusan pajakan Hotel St. Regis dan projek Perkampungan Tok Senik sehingga menyebabkan LADA gagal mengutip hasil pajakan bagi dua projek ini,” katanya.
Terdahulu hari ini, PAC membentang laporan jawatankuasa berhubung pengurusan LADA dan Kementerian Kewangan di Parlimen selepas mengadakan prosiding dua kali pada tahun lalu.
Saksi-saksi prosiding ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican; Timbalan KSP, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardi.
Laporan penuh prosiding dimuat naik di laman sesawang rasmi PAC bermula hari ini. –UTUSAN









